'Kantoi' jual rokok seludup di rumah kongsi

A
A
A

PASIR SALAK - Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 20-an ditahan polis selepas disyaki mengedar dan menjual rokok seludup di sebuah rumah kongsi di Kampung Gajah di sini pada Rabu.

Dalam serbuan sekitar jam 10.10 malam itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah bertindak selepas menerima maklumat awam berkaitan kegiatan itu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, hasil serbuan berjaya menemui 189 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM8,000 yang disembunyikan dalam kotak.

“Siasatan mendapati suspek yang bekerja di ladang kelapa sawit berkenaan telah berselindung di sebalik perniagaan runcit kecil-kecilan yang dijalankan di rumah kongsi tersebut.

“Suspek mengakui mengambil kesempatan menjual rokok itu kepada pekerja warga asing yang bekerja bersamanya disebabkan kawasan ladang tersebut agak jauh dari kawasan pekan terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek menerima bekalan setiap bulan daripada beberapa pembekal di daerah berhampiran.

“Suspek menerima bekalan sebanyak tiga kali sebulan. Justeru itu, usaha mengesan pembekal rokok seludup yang berkaitan digerakkan.

“Suspek direman selama dua hari sehingga Jumaat, manakala pengesahan lanjut status dokumen suspek dijalankan dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang awam untuk terus menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan pembekalan rokok seludup di kampung dan ladang di daerah ini dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Perak Tengah di talian 05-3712222.