393 ingkar PKP ditahan, 372 dikompaun

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 195 individu yang terlibat dalam aktiviti pusat hiburan adalah antara 393 orang yang ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Rabu, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kesalahan lain ialah tidak memakai pelitup muka (89 orang), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (70), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (36) dan lain-lain (tiga).

“Daripada jumlah yang ditahan itu, seramai 372 orang dikenakan kompaun, manakala 21 orang direman,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP dan PKP Pemulihan pada Khamis.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa turut menahan 49 pendatang tanpa izin dan dua tekong serta menyita tujuh kenderaan darat dalam Ops Benteng pada Rabu.

Mengenai operasi sanitasi awam, beliau berkata, sebanyak 37 operasi dijalankan meliputi zon merah (17), zon jingga (dua), zon kuning (enam) dan zon hijau (tiga) di sembilan negeri dan wilayah persekutuan pada Rabu.

Sementara itu, hingga Rabu, seramai 99,573 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dengan 7,985 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: