Dera cucu OKU hingga maut: Nenek saudara disambung reman

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

GOMBAK - Perintah reman terhadap seorang wanita warga Indonesia yang disyaki terbabit dengan kes dera seorang kanak-kanak perempuan kurang upaya (OKU) berusia lima tahun dilanjutkan enam hari bermula Jumaat hingga 13 Januari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret Selayang selepas membenarkan permohonan pihak polis bagi membantu siasatan kes.

Lima lagi ahli keluarganya termasuk bapa kandung kanak-kanak itu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam kenyataan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe sebelum ini memaklumkan kesemua suspek telah ditahan reman enam hari sejak 1 Januari lalu.

"Mangsa disyaki maut didera oleh nenek saudaranya dalam kejadian pada 30 Disember lalu. Suspek berusia 55 tahun itu dipercayai telah menyepak dan menendang mangsa sehingga pecah usus," katanya.

Arifai berkata, mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh ibu saudaranya di rumah mereka di sini pada jam 7 malam sebelum menghubungi ambulans.

"Pemeriksaan perubatan kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam ditahan kes dera budak OKU hingga mati

Artikel Berkaitan:

Katanya, bedah siasat yang dijalankan hari berikutnya mendapati mangsa maut akibat kecederaan di bahagian usus yang pecah dipercayai kerana didera.

"Keluarga mangsa pada mulanya mendakwa mangsa mengalami sakit perut dan muntah sebelum ditemui tidak sedarkan diri di ruang tamu, selain enggan membenarkan bedah siasat.

"Berdasarkan keputusan bedah siasat itu, polis menahan enam individu masing-masing tiga lelaki dan tiga wanita berusia 25 hingga 55 tahun termasuk suspek utama yang juga nenek saudara mangsa untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan lanjut juga menemui kesan parut lama tubuh mangsa dicucuh dengan ubat nyamuk yang dibakar," katanya.

Arifai berkata, susulan penemuan unsur jenayah pada mayat mangsa, mengklasifikasikan semula kes terbabit daripada mati mengejut kepada kes bunuh.

Katanya, hasil siasatan lanjut tidak menolak kemungkinan suspek mendera mangsa yang tidak mampu berjalan dan berdiri kerana sering buang air besar tanpa sedar.

"Mangsa juga mempunyai rekod penyakit lebihan cecair dalam otak, selain pernah menjalani pembedahan namun mampu bertutur dengan baik," katanya.