Twitter, Facebook, Instagram sekat akaun Trump

Facebook dan Instagram menyekat akaun Donald Trump.
Facebook dan Instagram menyekat akaun Donald Trump.
A
A
A

WASHINGTON - Facebook dan Instagram mengikuti langkah Twitter menyekat akaun Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu kerana retorik melampau selepas penyokongnya menyerbu bangunan Capitol, lapor Agensi Berita Anadolu.

Bermula dengan Twitter, yang memberi amaran sekatan selama 12 jam yang dikenakan sebelum ini akan dilanjutkan sekiranya Trump gagal memadam ciapan yang melanggar polisi syarikat itu, dan boleh menyebabkan akaunnya ditutup.

"Ekoran situasi kekacauan yang belum pernah terjadi sebelum ini dan berterusan di Washington DC, kami telah meminta tiga Tweet @realDonaldTrump yang disiarkan awal hari ini dipadamkan kerana melanggar peraturan terhadap dasar Integriti Sivik kami," kata syarikat media sosial itu di laman webnya.

Twitter sebelum ini menyekat tiga ciapan Trump termasuk video yang dimuat naik beliau mengulangi dakwaannya pilihan raya presiden "dicuri dari kami" dan menggesa penyokongnya pulang. Ciapan kedua Trump mempertahankan apa yang dilakukan penyokongnya.

Facebook dan YouTube juga memadam video tersebut. Facebook dan anak syarikatnya Instagram pula menyekat akaun Trump selama 24 jam.

"Kami mengesan dua pelanggaran polisi di laman akaun Presiden Trump yang menyebabkan ia disekat selama 24 jam, bermaksud beliau tidak boleh memuat naik sebarang hantaran di platform media sosial itu sepanjang tempoh tersebut,” kata Facebook dalam satu kenyataan.

Trump dan sekutu politiknya berbulan-bulan mendakwa kekalahan kepada Demokrat Joe Biden pada pilihan raya baru-baru ini disebabkan penipuan, mencetus kemarahan dalam kalangan penyokongnya, teori konspirasi itu beberapa kali ditolak di mahkamah.

Jabatan Kehakiman juga tidak menemukan bukti untuk menyokong dakwaannya mengenai wujudnya penipuan pengundian.- Bernama

Artikel Berkaitan: