Kes bunuh warga emas: Ahli perniagaan direman seminggu

Laporan Sinar Harian mengenai kes berkenaan.
Laporan Sinar Harian mengenai kes berkenaan.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang ahli perniagaan direman seminggu bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki warga emas sebelum mayatnya ditemui dalam but sebuah kereta di Taman Wawasan di Puchong pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, permohonan reman dibuat polis terhadap lelaki berusia 40 tahun itu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

"Suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 13 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Nik Ezanee berkata, suspek berkenaan ditahan di sebuah pasar raya di Kuala Klawang oleh polis Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.

"Suspek kemudian diserahkan kepada kita pada Rabu, soal siasat dilakukan terhadap suspek mendedahkan lokasi mayat mangsa," katanya.

Warga emas berusia 70 tahun yang dilaporkan hilang sejak 31 Disember lalu dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemui dalam but sebuah kereta di Taman Wawasan di sini pada Rabu.

Terdahulu Nik Ezanee berkata, keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan warga emas dan memaklumkan bahawa berlaku transaksi kad kredit milik mangsa di sebuah pasar raya di Kuala Klawang, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, susulan laporan itu, seorang lelaki ditahan di sebuah pasar raya di Kuala Klawang, Sabtu lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada persengketaan berhubung isu jual beli tayar dianggarkan bernilai RM1,100.

Artikel Berkaitan:


ARTIKEL BERKAITAN:Warga emas dibunuh, mayat disumbat dalam but kereta