Mahkamah beri amaran keras kepada Najib berhubung 'serangan' terhadap Zeti

Najib (tengah) hadir untuk perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Najib (tengah) hadir untuk perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis mengeluarkan amaran keras kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar tidak mengulangi “serangan secara maya” terhadap bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Dalam keputusannya, Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, walaupun tidak ada keperluan untuk mahkamah mengenakan “gag order” (perintah sekatan) terhadap Najib, Ahli Parlimen Pekan itu harus berhenti membuat kenyataan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seolah-olah perbicaraan itu berlangsung dalam domain awam.

“Sehubungan itu, mahkamah ini mengeluarkan amaran keras kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatannya dan mahkamah akan mengambil apa juga tindakan yang perlu bagi melindungi integriti institusi ini,” kata hakim.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan pada Selasa menggesa mahkamah mengenakan amaran keras terhadap Najib kerana melakukan “serangan” ke atas Zeti yang merupakan seorang saksi dalam kes 1MDB, menerusi Facebook beliau.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram membangkitkan isu itu susulan kenyataan Najib dalam hantaran menerusi Facebooknya pada 29 Disember lepas mendakwa Zeti menerima wang daripada 1MDB.- Bernama

Artikel Berkaitan: