X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir: Bungkus nasi kenduri edar kepada jiran

Mohd Idris (kiri) bersama anak dan menantunya membersihkan kerusi di depan rumahnya yang dinaiki air sejak malam Rabu.
A
A

HULU TERENGGANU - Sebuah keluarga di Kampung Pengkalan Ajal, Ajil di sini bercadang untuk membungkus nasi dan mengagihkannya kepada jiran berhampiran sekiranya banjir yang melanda rumahnya masih tidak surut menjelang kenduri esok.

Mohd Idris Che Alas, 66, berkata, selain itu beliau juga akan menghantar bungkusan nasi berlaukkan gulai daging itu ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya.

Keadaan banjir di Kampung Pengkalan Ajal, Ajil.
Keadaan banjir di Kampung Pengkalan Ajal, Ajil.

Menurutnya, beliau merancang mengadakan majlis menyambut menantu pada Jumaat, namun tidak menyangka rumahnya dinaiki air sedalam 0.3 meter malam Rabu.

"Air mula naik malam tadi lepas waktu Isyak berikutan hujan lebat berterusan dan pagi ini makin banyak.

"Rumah ini sudah dinaiki air pada bulan lepas dan saya tidak sangka akan sekali lagi berdepan dengan banjir, ingatkan sudah tidak banjir," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Khamis.

Mohd Idris berkata, mereka sekeluarga mengambil keputusan meneruskan kenduri menyambut menantu berikutan jemputan kepada 100 tetamu sudah dibuat dan makanan selesai ditempah.

"Semua persiapan sudah dibuat. Kanopi sudah dipasang di depan rumah, manakala pelamin pula akan dipasang petang ini bergantung kepada keadaan banjir.

"Saya jemput 100 tetamu terdiri daripada jiran tetangga dan penduduk kampung berdekatan datang esok bermula jam 11 pagi hingga tiga petang.

"Namun jika air masih tidak surut, apakan daya kami terpaksa bungkus makanan dan hantar ke rumah jiran dan PPS berhampiran," katanya.

Anaknya, Ahmad Lukmanilhakim, 28, melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihan hati, Nor Syamimi Mat Radzi, 27, pada 2 Januari lalu di Jerteh, Besut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!