Ringgit dibuka tinggi dalam dagangan awal

A
A

RINGGIT dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pagi ini susulan minat belian sederhana ke atas unit tempatan, kata peniaga.

Pada jam 9.10 pagi, ringgit ditambat pada 4.0710/0760 berbanding dolar daripada 4.0715/0765 pada penutupan Khamis.

Penganalisis Kanan Pasaran Oanda, Jeffrey Halley berkata mata wang serantau munkin menyusut hari ini susulan pengukuhan dolar AS.

"Dolar AS meningkat semalaman. Euro dan pound British terus lemah susulan data zon euro yang rendah, selain kebuntuan Brexit yang berterusan. Keadaan ini mungkin menular ke Asia,” katanya.

Sementara itu, penanda aras harga minyak Brent dan West Texas Intermediate masing-masing merosot 2.50 peratus dan 1.60 peratus semalaman berikutan pengukuhan dolar US selain cuaca yang bertambah baik di Amerika Syarikat.

"Kurangnya berita mungkin bermakna dagangan tidak menentu di Asia, dengan pergerakan harga minyak bergerak rendah susulan peningkatan dolar," kata Halley.

Dalam negara, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9987/0028 daripada 3.0017/0058 pada Khamis, namun rendah berbanding yen kepada 3.7090/7139 daripada 3.7004/7059 semalam.

Berbanding euro, unit tempatan mengukuh kepada 4.6157/6230 daripada 4.6191/6252 namun menyusut berbanding pound Britain kepada 5.2728/2813 berbanding 5.2547/2619.- Bernama