X

Kindly register in order to view this article
!

Geng Pali, Geng Pak Su, Geng Susang tumpas

Tiga sindiket yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun dan curi kenderaan di Kulim tumpas, apabila polis menahan 15 individu di beberapa lokasi di daerah itu sejak bulan lepas.
A
A

ALOR SETAR - Tiga sindiket yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun dan curi kenderaan di Kulim tumpas, apabila polis menahan 15 individu di beberapa lokasi di daerah itu sejak bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Azhar Hashim berkata, polis percaya 30 kes samun dan curi kenderaan yang dilaporkan di daerah berkenaan sejak November lepas berjaya diselesaikan susulan penahanan semua suspek yang dipercayai ahli ‘Geng Pali', ‘Geng Pak Su’ dan 'Geng Susang' itu.

Beliau berkata serbuan pertama pada 23 Disember lepas menyaksikan polis berjaya menahan dua lelaki berumur 26 dan 28 tahun, dengan salah seorang daripanya dipercayai ketua kumpulan ‘Geng Pali’ yang disyaki terlibat dalam kegiatan samun dan curi kenderaan di sekitar Lunas.

“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berumur 23 tahun. Penahanan ketiga-tiga suspek ini membolehkan kita menyelesaikan 10 kes curi kenderaan dan lima kes samun jalanan menggunakan senjata tajam,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Beliau berkata dalam serbuan kedua pada 27 Disember lepas pula, polis menahan sembilan lelaki yang merupakan anggota ‘Geng Pak Su’ dalam dua tangkapan berasingan di sekitar Kulim, yang disyaki terlibat dalam kes samun premis perniagaan.

“Kesemua suspek yang berumur antara 19 dan 35 tahun itu dipercayai terlibat dalam lima kes samun di Padang Serai dan Sungai Karangan. Ketua kumpulan yang dikenali sebagai ‘Pak Su’ yang berumur 27 tahun mempunyai enam rekod jenayah lampau turut ditahan.

“Sementara itu, pada Selasa lepas, polis berjaya menahan tiga lelaki yang dipercayai anggota ‘Geng Susang’ berumur antara 20 dan 36 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan menyamun warga asing,” katanya.

Katanya, polis sedang mengesan seorang lagi lelaki berumur 27 tahun yang merupakan ketua kepada kumpulan itu dan dengan penahanan kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan 10 kes samun yang menyasarkan wanita warga asing.

Dalam pada itu, Azhar berkata hasil siasatan mendapati ketiga-tiga sindiket ini menggunakan hasil samun untuk membeli dadah dan kesemua mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!