Kanak-kanak Yaman kebuluran, berat cuma 7kg

Faid Samim, 7, hampir maut setelah alami lumpuh otak dan kurang zat makanan. - Foto Reuters
Faid Samim, 7, hampir maut setelah alami lumpuh otak dan kurang zat makanan. - Foto Reuters
A
A
A

SANNA - Berikutan kekurangan makanan, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun mengalami lumpuh otak dan kurang zat makanan terbaring di atas katil di sebuah hosital di Bandar Yaman.

Lapor Reuters, doktor dari Hospital Al-Sabeen, Rageh Mohammed berkata, kanak-kanak itu, Faid Samim hampir maut ketika tiba di hospital, namun pihak perubatan berjaya menyelamatkannya.

"Syukur kami dapat melakukan yang terbaik dan dia mula bertambah baik. Dia menderita cerebral palsy (CP) atau lumpuh otak serta kekurangan zat makanan yang sungguh teruk.

"Berat Faid hanya tujuh kilogram dan badannya tinggal tulang hingga melengkung, bahkan saiz badannya lebih kecil daripada selimut hospital yang dilipat," katanya.

Faktor perjalanan dari Al-Jawf ke hospital sejauh 170 kilometer antara penyebab keluarga sukar membawa Faid bagi menerima rawatan.

Selain itu, keluarga Faid tidak mempunyai wang kerana hanya bergantung sepenuhnya daripada sumbangan orang ramai.

Rageh berkata, kes kekurangan zat makanan semakin meningkat kerana keluarga miskin terpaksa bergantung kepada ihsan orang luar atau bantuan antarabangsa untuk merawat anak-anak mereka.

Isu kelaparan tidak pernah diisytiharkan secara rasmi di Yaman tetapi krisis kemanusiaan terbesar di dunia adalah di kawasan itu dengan merekodkan 80 peratus penduduk bergantung pada bantuan orang luar.

Artikel Berkaitan:

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada akhir 2018 telah memaklumkan mengenai krisis kebuluran itu dan bantuan terus meningkat serta mengumpulkan dana dari seluruh dunia.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 berlaku pada 2020 mengakibatkan berlaku pengurangan penyaluran dana.