DAP kumpul tandatangan gesa projek Pulau Pinang dikembalikan

DAP Pulau Pinang melancarkan kempen mengumpul tandatangan rakyat dalam usaha menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengembalikan empat projek infrastruktur di negeri ini yang dibatalkan.
DAP Pulau Pinang melancarkan kempen mengumpul tandatangan rakyat dalam usaha menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengembalikan empat projek infrastruktur di negeri ini yang dibatalkan.
A
A
A

GEORGETOWN - DAP Pulau Pinang melancarkan kempen mengumpul tandatangan rakyat dalam usaha menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengembalikan empat projek infrastruktur di negeri ini yang dibatalkan.

Setiausahanya, Senator Lim Hui Ying berkata, kempen tandatangan massa itu bertujuan menggembleng suara rakyat Pulau Pinang untuk membantah pengkhianatan yang dilakukan kerajaan PN terhadap negeri ini.

Menurutnya, kempen itu akan berlangsung sehingga kerajaan PN mengembalikan semula semua projek infrastruktur tersebut.

"DAP menggesa kerajaan PN agar menghentikan politik dendam terhadap Pulau Pinang dan rakyatnya. Tujuan kita melancarkan kempen tandatangan massa ini adalah untuk mengumpul seberapa banyak tandatangan daripada rakyat yang sokong agar empat projek infrastruktur ini dikembalikan.

"Kempen ini juga bagi membantu rakyat Pulau Pinang mendapat kembali hak mereka. Oleh itu, DAP Pulau Pinang meminta semua rakyat menyokong kempen ini," katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP di sini pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ketua Menteri yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan beberapa barisan pemimpin DAP yang lain.

Empat projek infrastruktur itu melibatkan projek kereta kabel Bukit Bendera bernilai RM100 juta dan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bernilai RM800 juta.

Dua lagi projek tersebut adalah jaminan pinjaman kerajaan Persekutuan untuk pembinaan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan feri ikonik Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Hui Ying berkata, kesemua projek tersebut diluluskan berdasarkan keperluan dan kepentingan melalui proses sewajarnya ketika Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara.

"Kempen ini akan dilaksanakan dengan pematuhan penuh prosedur operasi standard (SOP). Orang ramai boleh menurunkan tandatangan di semua pejabat wakil rakyat atau pejabat DAP Pulau Pinang.

"Mereka juga boleh melakukannya secara atas talian di laman https://forms.gle/wZ9j5QRZWSXVchBb9," katanya

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, walaupun mempunyai sumber dan kuasa yang amat terhad, kerajaan Pulau Pinang bertekad akan meneruskan keempat-empat projek tersebut demi kepentingan dan manfaat 1.6 juta rakyat Pulau Pinang.

Menurutnya, sebagai contoh, projek kereta kabel Bukit Bendera dan LRT akan diteruskan melalui model pembiayaan alternatif.

"Dengan ekonomi negara yang sedang mengalami kemelesetan pasca Covid-19, projek ini adalah penting untuk merangsang ekonomi, mencipta pekerjaan dan memperbaiki keadaan sosioekonomi rakyat.

"Oleh kerana kesemua projek ini ditarik balik, kita perlu mengatur semula untuk mencari kaedah yang sesuai bagi meneruskan juga projek-projek ini. Dengan kempen ini, saya harap suara rakyat ini mampu mengembalikan semula keempat-empat projek ini," katanya.

Sebelum ini, kerajaan PH meluluskan peruntukan RM100 juta untuk projek kereta kabel Bukit Bendera dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan ketika itu, Guan Eng dengan baki kos perlu ditanggung oleh kerajaan negeri.

Peruntukan itu bagaimanapun ditarik balik oleh kerajaan PN yang baharu.