Sudan tandatangani perjanjian menormalkan hubungan dengan Israel

Sudan mendatangani 'Perjanjian Abraham' sekali gus membuka jalan bagi menormalkan hubungan dengan Israel. - Foto AFP
Sudan mendatangani 'Perjanjian Abraham' sekali gus membuka jalan bagi menormalkan hubungan dengan Israel. - Foto AFP
A
A
A

KHARTOUM - Sudan menandatangani 'Perjanjian Abraham' pada Rabu sekali gus membuka jalan bagi menormalkan hubungan dengan Israel ketika negara itu menerima lawatan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Steven Mnuchin.

Negara itu juga menandatangani satu perjanjian persefahaman dengan AS bagi membolehkan ia mendapatkan pinjaman kewangan untuk menjelaskan hutang negara itu dengan Bank Dunia.

Kedua-dua perjanjian itu ditandatangani kurang sebulan selepas Washington mengeluarkan Khartoum daripada senarai negara yang menaja keganasan.

Pengeluaran Sudan daripada senarai itu dilakukan selepas ia bersetuju untuk menormalkan hubungan dengan Israel pada bulan Oktober tahun lalu.

Kedutaan AS mengucapkan tahniah kepada kerajaan peralihan Sudan kerana menandatangani perjanjian tersebut dengan menyatakan ia akan membuka jalan ke arah kestabilan, keselamatan dan peluang ekonomi di negara berkenaan.

Tindakan Sudan menandatangani 'Perjanjian Abraham' itu menjadikan ia sebagai negara ketiga daripada Liga Arab berbuat demikian selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.

Maghribi pula menjadi negara keempat daripada Liga Arab yang bersetuju menormalkan hubungan dengan Israel.

'Perjanjian Abraham' berkenaan ditandatangani oleh Menteri Keadilan Sudan, Nasredeen Abdulbari dan Mnuchin.

Artikel Berkaitan:

Menteri Luar Israel, Gabi Ashkenazi pula menyambut baik perjanjian itu.

Dalam pada itu, Pemangku Menteri Kewangan Sudan, Hiba Ahmad dan Mnuchin menandatangani perjanjian persefahaman bagi membolehkan negara tersebut mendapatkan satu pinjaman kewangan dari AS.

Pinjaman tersebut diberikan bagi membolehkan Sudan menjelaskan tunggakan berjumlah AS$1.2 bilion (RM4.2 bilion) kepada Bank Dunia.

Hutang asing Sudan dianggarkan kira- kira AS$60 bilion (RM240.81 bilion). - Agensi