X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 300 pengusaha bot mohon tangguh PLKS

Pengusaha bot mengadakan bantahan pelaksanaan PLKS secara aman di Jeti Tanjung Gemok, Endau, Mersing pada Rabu.
A
A

MERSING - Lebih 300 pengusaha bot nelayan laut dalam di Endau dan Tanjung Gemok di sini memohon kerajaan menangguhkan pelaksanaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pekerja warga asing yang bekerja sebagai nelayan dijadualkan berkuat kuasa 26 Januari ini.

Pengerusi Persatuan Perikanan dan Perniagaan Endau Johor (PPPEJ), Sin Chin Swee berkata, ini kerana mereka perlu menanggung kos yang besar untuk pekerja asing itu sekiranya dikuatkuasakan juga dalam keadaan penularan Covid-19 dan musim tengkujuh.

"Proses kelulusannya mengambil masa agak lama selain pertambahan kos yang terpaksa ditanggung pemilik bot boleh mencecah sehingga RM200,000 bagi setiap bot. Setiap bot memiliki 20 hingga 25 pekerja.

"Pelaksanaan PLKS akan membebankan kami kerana akan meningkatkan perbelanjaan besar dalam urusan berkaitan PLKS terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

"Ini akan menyebabkan pemohon PLKS dikuarantin malah kos penerbangan dan sepanjang tempoh kelulusan ditanggung majikan. Ini termasuk menanggung perbelanjaan mereka yang tidak dapat bekerja dalam tempoh sekurang-kurangnya dua bulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan bantahan pelaksanaan PLKS di Jeti Tanjung Gemok, Endau di sini pada Rabu.

Menurutnya, pelaksanaan PLKS tidak kena pada masanya kerana pendapatan mereka tidak menentu ketika ini berikutan hampir dua bulan tidak ke laut akibat cuaca buruk dan pekerja asing sudah pulang ke negara asal.

Chin Swee berkata, hampir keseluruhan pengusaha bot laut dalam di Endau merupakan penyumbang bekalan ikan kedua terbesar negara.

"Sekiranya PLKS diteruskan dalam masa terdekat, kos operasi kami meningkat berkali ganda dan menyebabkan bekalan ikan negara akan terjejas seterusnya harga ikan di pasaran tempatan juga meningkat.

"Pemilik bot laut dalam tiada pilihan selain menaikkan harga ikan sekiranya kerajaan berhasrat meneruskan PLKS kerana 70 peratus hasil laut negara disumbangkan pukat cerut laut dalam," katanya.

Beliau mendakwa, situasi itu akan turut memberi kesan terhadap pekerja tempatan dalam sektor perikanan seperti pekerja kilang makanan laut, kilang keropok, peraih ikan dan pemandu lori.

Katanya, jika PLKS diteruskan berkemungkinan pengusaha bot terpaksa menjual bot-bot mereka kerana tidak mampu menanggung kos tinggi sekali gus dijangka menyebabkan masalah bekalan ikan hingga negara terpaksa import ikan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!