Pengarah syarikat gagal patuhi Tribunal Tuntutan Pengguna

Penentang (kanan) telah ditangkap pada Selasa dan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu serta didakwa atas kesalahan Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Penentang (kanan) telah ditangkap pada Selasa dan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu serta didakwa atas kesalahan Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.
A
A
A

SHAH ALAM - Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan tegas ke atas seorang pengarah syarikat yang gagal mematuhi award yang dikeluarkan oleh Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Pengarahnya, Azman Adam berkata, tindakan dilakukan berhubung pembayaran deposit pembinaan rumah berjumlah RM12,000.

Menurutnya, pada 15 Mac 2017, satu aduan telah diterima daripada seorang penuntut yang menyatakan bahawa penentang, seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan pengarah syarikat harta tanah telah gagal selepas 14 hari dari tarikh award diserahkan untuk mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna di Pejabat TTPM.

“Kes telah didaftarkan di Mahkamah Majistret Putrajaya dan sebutan kali pertama telah ditetapkan pada 10 Oktober lalu.

“Bagaimanapun, penentang gagal hadir dan mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap dan menetapkan tarikh sebutan pada 6 Januari 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, penentang telah ditangkap pada Selasa dan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu serta didakwa atas kesalahan Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun,” ujarnya.

Sehubungan itu, tegas beliau, pihaknya memandang serius dalam isu ketidakpatuhan award dan ketidakhadiran penentang ke mahkamah.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan mengesan pihak-pihak berkenaan dan melaksanakan sendiri waran tangkap terhadap pihak yang gagal hadir ke mahkamah,” katanya.