X

Kindly register in order to view this article
!

[EKSKLUSIF] Tubuh jawatankuasa khas siasat surat sokong Anwar

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dan Sayap UMNO Bahagian Bagan Datuk 2020 di Kompleks Umno Bagan Datuk. Foto: Bernama
A
A

SHAH ALAM - Beberapa pemimpin UMNO menggesa satu jawatankuasa khas ditubuhkan parti itu bagi menyiasat dakwaan dikemukakan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa serta kesahihan surat sokongan parti tersebut kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Timbalan Ketua UMNO bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu penting bagi memastikan siasatan terperinci dilakukan terhadap dakwaan Annuar yang menyatakan parti itu bakal bekerjasama dengan Anwar dan DAP bagi membentuk kerajaan baharu.

Menurutnya, siasatan itu juga perlu untuk menjelaskan kecelaruan dalam kalangan ahli UMNO yang masih keliru dengan gerakan politik terkini pucuk kepimpinan parti itu yang cuba memutuskan hubungan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Berkenaan dengan surat sokongan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Anwar, mengapa surat itu tidak diperhalusi pucuk kepimpinan parti?

"Saya fikir satu jawatankuasa khas perlu dibentuk bagi menyiasat kesahihan surat berkenaan dengan kerjasama dengan polis boleh diusahakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.

"Siasatan itu penting kerana ia melibatkan integriti institusi diraja. Malah hasil siasatan surat berkenaan bukan sahaja akan membersihkan nama baik Annuar sekiranya terbukti sahih, malah akan membersihkan nama Zahid dan Najib jika palsu," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas pendedahan terkini Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dalam satu sidang media pada Rabu, apabila mendakwa UMNO sudah menandatangani surat sokongan membentuk kerajaan baharu bersama Anwar dan DAP.

Pendedahan itu dibuat Ahli Parlimen Ketereh itu susulan tindakan pemecatan beliau daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) oleh Ahmad Zahid dan digantikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Selasa.

Semalam, mesyuarat MKT UMNO memutuskan usul menolak hubungan kerjasama dengan Bersatu akan dibawa dalam mesyuarat Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari ini untuk dimuktamadkan.

Mohd Irwan berkata, tindakan pemecatan Annuar juga mengelirukan ramai pihak dan disifatkan beliau sebagai tidak bijak pada saat UMNO sedang bersiap-sedia menghadapi PRU15 tidak lama lagi.

Mohd Irwan Rizal
Mohd Irwan Rizal

Menurutnya, tindakan Ahmad Zahid memecat Annuar bukan lagi mengukuh UMNO, namun dijangka mengeruhkan lagi keadaan pada saat rakyat sendiri mula mempersoalkan tindakan politik Presiden UMNO itu.

Dalam pada itu, sentimen sama turut dikongsi Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn yang menganggap tindakan pemecatan Annuar bakal memberi isyarat jelas yang tidak baik kepada umum.

Menurutnya, meskipun pelantikan jawatan Setiausaha Agung BN adalah kuasa prerogatif Pengerusi BN, namun hujah 'menukarkan' Annuar hanya kerana beliau dilihat pro-Bersatu dan tidak sehaluan dengan pucuk kepimpinan parti adalah alasan tidak betul.

"Saya merasakan perbezaan pandangan dalam parti perlu diraikan dengan ianya harus diberikan penjelasan kepada akar umbi untuk kefahaman sebenar," katanya.

Bagaimanapun, Bastien tetap menegaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus melihat perkongsian kuasa antara parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam konteks lebih adil.

"Justeru, saya minta isu isu pengagihan komposisi jawatan Kabinet termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri dipertimbangkan Perdana Menteri.

"Ini penting bagi mengelakkan kebimbangan kerjasama UMNO-Anwar-DAP akan dijadikan kenyataan oleh segelintir pihak berkepentingan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN UMNO bekerjasama dengan DAP untuk bentuk kerajaan baharu, kata Annuar

Annuar dedah pemimpin UMNO keluar surat sokongan kepada Anwar

Kerjasama UMNO-DAP: Najib nafi dakwaan Annuar


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!