UMNO tidak tolak kerjasama dengan Bersatu selepas PRU15

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan bahawa parti itu tidak menolak mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, ia boleh dilaksanakan walaupun UMNO memutuskan untuk tidak mengadakan kerjasama pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa PRU15.

“Kalau tak bekerjasama dalam pilihan raya, tidak bermakna tidak akan ada kerjasama selepas itu. Boleh tengok Sabah, selepas pilihan raya tengok siapa menang hari itu dan kita susun balik.

“Bermakna, kita bincang usul itu (dalam Perhimpunan Agung UMNO), kalau kita tolak bekerjasama untuk pilihan raya bukan bermakna lepas pilihan raya tak akan bekerjasama,” katanya ketika menjadi panel dalam 'Wacana Intelektual: Politik dan Demokrasi di Malaysia 2021: Apa Akan Terjadi?' anjuran Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Khamis.

Wacana itu dikendalikan oleh Shuhaimi Mohamed sebagai moderator dan menampilkan beberapa penganalisis politik iaitu Profesor Madya Dr Mohd Mahadee Ismail, Profesor Datuk Dr Ismail Sualman dan Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid.

Pada Khamis, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dalam satu kenyataan berkata, terdapat tiga usul utama dibangkitkan UMNO Bahagian iaitu mempertahankan Muafakat Nasional (MN), memutuskan hubungan dengan Bersatu sehingga PRU15 dan menggesa PRU15 dibuat sebelum berakhir suku pertama tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Usul putus hubungan dengan UMNO-Bersatu dibawa ke PAU

Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Johor itu berkata, UMNO Bahagian mengusulkan agar tiada kerjasama dengan Bersatu semasa PRU15 juga selari dengan pendirian awal parti itu.

Artikel Berkaitan:

“Pendirian awal UMNO mengatakan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu adalah satu kerajaan diwujudkan atas kerjasama ahli Parlimen yang UMNO benarkan bagi tujuan untuk mengurus negara kerana jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Menurutnya, UMNO mahu agar diadakan PRU15 apabila keadaan pandemik Covid-19 negara ini terkawal dan bertambah baik adalah bagi tujuan mengembalikan mandat rakyat.

“Kita mahu supaya pilihan raya itu segera diadakan kerana bagi UMNO kita perlukan sebuah kerajaan yang mempunyai mandat daripada rakyat. PN tak ada mandat,” katanya.

Menurut Mohamed Khalid, kerajaan pada masa ini tidak boleh menumpukan perhatian kerana berlakunya banyak isu politik.

“Banyak sangat politik kerana politik berasaskan sokongan wakil rakyat kedudukan pendirian boleh berubah-ubah, boleh dibeli dan boleh berlaku tawar menawar. Ini bukan sesuatu yang baik untuk negara kita,” katanya.