Kembara makrifat Ibnu Haitham

A
A

Bapa Optik Islam yang berjaya mengetepikan teori penglihatan sarjana Barat, Ptolemy dan Euclid

KEPADA yang menjadikan ilmu sebagai sahabat sejati, nama Ibnu Haitham barangkali masih tertanam dalam ingatan anda. Beliau merupakan tokoh Islam disegani bukan sahaja kerana ilmu yang dimiliki tetapi pengorbanan suci demi agama.

Ibnu Haitam hanyalah satu panggilan untuknya. Nama sebenarnya ialah Abu Ali Muhammad bin al-Haitham al-Basri Al-Misri.

Sejauhmana terkenalnya beliau boleh diukur apabila dunia Barat menggelarkannya sebagai Alhazen, Avennathan dan Avenetan.

Istimewa Ibnu Haitam ialah penguasaannya dalam ilmu Matematik, Astronomi, Mantik, Falsafah dan Fizik.

Kehebatannya lebih terserlah dalam bidang optik hingga digelar Bapa Optik Moden.

Ibnu Haitham dibesarkan di Basrah dan Baghdad iaitu dua kota penting yang menjadi pusat ilmu pengetahuan pada masa itu. Di dua bandar inilah menjadi saksi kepadanya memulakan kehidupan dengan mendapatkan pendidikan awal hingga dilantik sebagai pegawai pemerintah di bandar kelahirannya.

Ibnu Haitham kemudian telah mengembara dan sampai ke Ahwaz dan Baghdad bagi melanjutkan pengajian dan menumpukan perhatian dalam bidang penulisan.

Sejak kecil lagi, keintektualan Ibnu Haitham begitu terserlah.

Beliau adalah salah seorang tokoh cendekiawan sains yang termasyhur dengan ketinggian ilmunya di Tanah Arab dan di benua Eropah pada zamannya.

Atas faktor itulah, pemerintah Bani Fatimiyah di Mesir pada waktu itu, Khalifah Al-Hakim bin Amirillah (996-1021 Masihi) mengundangnya ke Mesir.

Tujuannya mahu Ibnu Haitham membantu menangani banjir Sungai Nil yang kerap melanda di negeri itu pada setiap tahun.

Pun demikian, Ibnu Haitham tidak dapat mewujudkan rancangan takungan raksasa yang kerana kurang peralatan canggih pada masa itu.

Hilang ingatan

Untuk melindungi dirinya daripada kemurkaan pemerintah, tokoh itu telah meninggalkan pekerjaan tersebut dengan berpura-pura hilang ingatan.

Kesannya, Ibnu Haitham telah dikenakan hukuman tahanan dalam rumah. Sewaktu dihukum, beliau menumpukan perhatian kepada usaha-usaha saintifik sehinggalah saat kematiannya.

IBNU HAITHAM
IBNU HAITHAM

Ketika Sultan Al-Hakim mangkat pada tahun 1021, Ibnu Haitham kembali normal dan aktif dalam kegiatan ilmu.

Beliau kemudian berlindung dan mengabdikan diri di Universiti Al-Azhar dan terus menyambung usaha ilmiahnnya dalam bidang saintifik. Beliau juga turut menterjemahkan buku-buku matematik dan falak ke bahasa Arab.

Sebelum itu, beliau telah pergi ke Andalusia (Sepanyol) yang merupakan kiblat ilmu pengetahuan Eropah pada masa itu. Di sana, beliau mempelajari optik.

Pada tahun terakhir hayatnya, beliau kembali ke Kaherah sebagai ahli Matematik termahsyur. Beliau meninggal dunia ketika berusia 74 tahun.CENDEKIAWAN ISLAM