X

Kindly register in order to view this article
!

Rumah jadi stor dadah diserbu

Polis percaya dadah bernilai RM20,000 itu akan diedar oleh suspek di sekitar daerah Klang dan siasatan mendapati suspek mula aktif pada penghujung tahun 2019.
A
A

KLANG - Sebuah rumah di Persiaran Seri Junjung, Pelabuhan Klang, di sini yang dijadikan stor menyimpan dadah digempur polis, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan itu dilakukan susulan tertangkapnya dua lelaki di Telok Gong, Klang kira-kira jam 2 petang, hari yang sama.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas suspek disyaki pengedar dadah itu menemui dadah jenis heroin seberat 455 gram.

"Soal siasat kemudian membawa serbuan di rumah terbabit dan menemui dadah jenis heroin seberat 1.8 kilogram serta sepucuk pistol dan kelopak.

"Serbuan ini turut bertindak menyita sebuah kereta jenis Proton Wira dan harta berjumlah RM10,000," katanya dalam sidang akhbar di IPD Klang Selatan, pada Khamis.

Beliau berkata, polis percaya dadah bernilai RM20,000 itu akan diedar oleh suspek di sekitar daerah Klang dan siasatan mendapati suspek mula aktif pada penghujung tahun 2019.

Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca bekalan diperoleh suspek selain mengesan sama ada mereka terlibat dalam jenayah lain berikutan penemuan senjata api.

"Kedua-dua suspek berusia 25 dan 40 tahun itu kini direman sehingga 12 Januari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960," katanya.

Sementara itu dalam kes berlainan, seorang lelaki berusia 33 tahun diberkas di Bandar Botanik, di sini, pada 31 Disember tahun lalu dengan rampasan dadah jenis syabu seberat 256.18 gram dianggar bernilai RM25,000.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!