Agong tinjau situasi banjir Pahang menerusi helikopter

Al-Sultan Abdullah meninjau keadaan banjir di Pahang menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). - Foto Facebook Istana Negara
Al-Sultan Abdullah meninjau keadaan banjir di Pahang menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap mangsa banjir di Pahang terus terserlah apabila Seri Paduka Baginda hari ini, meninjau keadaan banjir di negeri ini menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Istana Negara dalam kenyataannya memaklumkan Seri Paduka Baginda yang menaiki pesawat EC725 berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Kuantan, pada jam 9 pagi dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Al-Sultan Abdullah dijadualkan mendarat di Kuala Lipis untuk menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Clifford dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa.

"Selepas di Lipis, Yang di-Pertuan Agong akan ke Mentakab dan Temerloh juga bagi menyantuni mangsa banjir di di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab serta PPS Dewan Majlis Perbandaran Temerloh," menurut kenyataan itu di sini, pada Khamis.

Al-Sultan Abdullah berangkat pulang dari Istana Negara pada Selasa lalu, bagi meninjau keadaan banjir Pahang dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda meredah banjir di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).

Daerah Maran yang teruk terjejas akibat banjir, menjadi lokasi pertama Al-Sultan Abdullah mencemar duli melawat mangsa banjir dengan diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebelum berangkat ke Kuantan.

Sementara itu, di PPS Sekolah Kempadang di sini, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memasak di sekolah berkenaan yang turut dijadikan Pusat Memasak Berpusat.

Semasa mencemar duli mengadakan lawatan mengejut menyantuni mangsa banjir itu, Tunku Azizah berkenan menyediakan masakan sayur dan kari sardin sebagai tambahan kepada ayam masak merah serta ikan masin yang akan kemudiannya dibungkus untuk diagihkan kepada beberapa PPS sekitar daerah terbabit. - Bernama

Artikel Berkaitan: