Polis tegas pantau SOP Covid-19 walaupun musim banjir

Abd Jalil (tengah) dan Othman (kanan) ketika sidang akhbar di IPK Pahang di Kuantan pada Khamis.
Abd Jalil (tengah) dan Othman (kanan) ketika sidang akhbar di IPK Pahang di Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid- 19 masih dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh Pahang meskipun negeri ini sedang dilanda banjir.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, Pahang masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan menjadi tanggungjawab polis untuk memastikan orang ramai mematuhi perintah tersebut.

Menurutnya, dalam tempoh 24 jam pada Rabu, sebanyak empat kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis, manakala satu kepada individu kerana gagal mematuhi SOP iaitu tidak memakai pelitup muka dan tidak mendaftar masuk premis termasuk menerusi MySejahtera.

“Polis turut menggerakkan sebanyak 63 pasukan pemantau SOP PKPP dan sebanyak 994 pemantauan keseluruhan telah dibuat. Pasukan pemantau masih bergerak dari semasa ke semasa bagi memastikan pencegahan Covid-19 dilakukan secara menyeluruh.

“DI samping itu, polis turut melaksanakan sekatan jalan raya bagi memastikan orang ramai tidak memasuki kawasan banjir, sekali gus mengelakkan jenayah di kawasan perumahan yang penghuninya ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan.

Pada perhimpunan tersebut, sejumlah 22 anggota dan pegawai polis menerima surat penghargaan Ketua Polis Pahang.

Sementara itu, Abd Jalil berkata, Pahang direkodkan sebagai negeri keempat mencatatkan kadar penurunan jenayah paling banyak daripada 14 kontinjen iaitu sebanyak 29 peratus selepas Sabah, Perak dan Melaka.

Artikel Berkaitan:

“Pahang merekodkan penurunan kes jenayah sebanyak 939 kes iaitu daripada 3,270 pada tahun 2019 kepada 2,331 kes pada tahun 2020.

“Daerah yang paling banyak mencatatkan penurunan kes ialah Bentong iaitu turun sebanyak 249 kes jenayah atau 47 peratus. Pada tahun 2020 terdapat 278 kes di daerah itu berbanding 524 kes pada tahun 2019.

“Penurunan ketara ini besar kemungkinan adalah disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Kawalan Perintah Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan PKPP yang mana analisa menunjukkan pergerakan orang ramai yang terbatas dan sentiasa berada di rumah,” katanya,