X

Kindly register in order to view this article
!

Shamsul Anuar kunci mulut

Shamsul Anuar menjawab soalan pemberita ketika ditemui di pelancaran program Sustainability Archived Via Energy Efficiency (SAVE 2.0) di Kementerian Tenaga dan Sumber Asli pada Khamis.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Walaupun diasak bertubi-tubi dengan soalan berhubung mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ahli Parlimen Lenggong Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah kekal mengunci mulutnya.

"Tiada...tiada...," katanya sambil menutup mulutnya dengan tangan sebagai tanda enggan menjawab soalan pemberita ketika ditemui di pelancaran program Sustainability Archived Via Energy Efficiency (SAVE 2.0) di Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pada Khamis.

Menjawab pertanyaan mengapa tiga usul yang disenaraikan harus diputuskan di Perhimpunan Agong UMNO (PAU) penghujung bulan ini beliau berkata, ia adalah peraturan yang termaktub dalam parti itu.

"Peraturan, itu peraturannya," katanya.

Terdahulu, mesyuarat dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memakan masa lebih tiga jam pada Rabu bersetuju membawa tiga usul utama yang dibangkitkan ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada hujung bulan ini.

Usul tersebut adalah untuk menolak kerjasama dengan Bersatu, kerjasama UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) serta menggesa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Usul putus hubungan dengan UMNO-Bersatu dibawa ke PAU

Sementara itu, Shamsul Anuar yang juga Menteri KeTSA berkata, program SAVE 2.0 menyediakan pemberian e-rebat RM200 kepada isi rumah di seluruh negara yang membeli alat penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga bertaraf empat atau lima bintang buatan tempatan dan mendapat pensijilan SIRIM.

"Rebat ini terhad kepada satu akaun bagi setiap pembelian dalam tahun 2021 atau sehingga kuota habis," katanya.

Permohonan untuk mendapatkan e-rebat itu boleh dibuat melalui dua kaedah iaitu membawa bil elektrik terkini dan membuat pembelian secara fizikal di kedai elektrik serta pasar raya berdaftar di bawah Program SAVE 2.0 atau membuat pembelian dalam talian menerusi platform e-dagang yang diiktiraf.

"Hanya warganegara yang layak menikmati program ini," katanya.

Inisiatif tersebut yang diluluskan dengan peruntukan RM30 juta bertujuan menggalakkan pengguna mengamalkan amalan cekap tenaga sekali gus menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga dan bil elektrik. Ia dijangka dimanfaatkan oleh 150,000 isi rumah.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!