Pemuda maut terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

Lokasi mangsa terkena renjatan elektrik ketika mengharungi banjir di simpang empat dekat sebuah stesen minyak di Rantau Panjang. Gambar kecil: Muhammad Azuwan Amran
Lokasi mangsa terkena renjatan elektrik ketika mengharungi banjir di simpang empat dekat sebuah stesen minyak di Rantau Panjang. Gambar kecil: Muhammad Azuwan Amran
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang pemuda maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengharung banjir dalam kejadian di simpang empat dekat sebuah stesen minyak di sini pada malam Rabu.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, Muhammad Azuwan Amran, 19, dikatakan memegang tiang lampu di kawasan tersebut dan kemudian mengerang kesakitan sebelum rebah ke dalam air.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang ketika menemani seorang rakannya dikenali sebagai Muhamad Zarul Aiman Arsueming untuk mengambil pakaian di rumahnya yang terletak hampir dua kilometer (km) dari PPS berkenaan, kira-kira jam 7.50 malam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, siasatan awal ketika tiba di lokasi kejadian pada jam 8 malam, mangsa yang ketika itu berada di hadapan berpegang pada tiang lampu.

"Secara tiba-tiba mangsa mengerang kesakitan dan terus rebah ke dalam air. Rakan mangsa cuba menghampirinya tetapi merasakan terdapat arus elektrik.

"Rakannya kemudian mengambil kayu dan menarik mangsa ke tempat selamat," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Menurutnya, hasil bantuan orang ramai mangsa dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang untuk tindakan lanjut, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba untuk melakukan pemeriksaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian ialah 'Cardiac Arrythmia' iaitu degupan jantung berhenti secara tiba-tiba. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel Berkaitan: