Banjir di Terengganu makin buruk

Keadaan banjir di Kuala Jengai, Dungun. - Foto APM
Keadaan banjir di Kuala Jengai, Dungun. - Foto APM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir gelombang kelima di Terengganu bertambah buruk apabila lebih ramai mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan hujan lebat melanda negeri itu sejak beberapa hari lalu.

Sehingga jam 8 pagi Khamis, seramai 5,243 mangsa daripada 1,326 keluarga di Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu yang terjejas ditempatkan di 39 PPS berbanding 1,306 orang pada jam 6 petang Rabu.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Kemaman merekodkan jumlah mangsa paling ramai yang dipindahkan iaitu 4,074 orang.

Menurutnya, kesemua mangsa melibatkan 988 keluarga berada di 21 PPS selepas kediaman mereka ditenggelami air.

“Setiu menjadi daerah terbaharu terjejas apabila sebuah pusat penempatan banjir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut dibuka kira-kira jam 9 malam tadi (Rabu) dengan tujuh mangsa ditempatkan di sana.

"Ia diikuti daerah Besut dengan 94 mangsa dipindahkan ke dua PPS iaitu Dewan Masjid Kampung La dan SK Kampung La," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Che Adam berkata, di Dungun, PPS yang dibuka meningkat kepada sembilan dan seramai 849 mangsa melibatkan 244 keluarga berada di sana.

Katanya, hujan lebat berterusan juga menyebabkan jumlah mangsa banjir di Hulu Terengganu turut meningkat tiga kali ganda kepada 219 orang berbanding 70 orang pada jam 6 petang, Rabu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, enam PPS dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa iaitu Dewan PPSK Felcra Gunung/Menerong, Balairaya Kampung Pengkalan Ajal, Balairaya Kampung Baong, Balairaya Kampung Basong, Balairaya Kampung Tapah dan Kampung Tengkawang.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa banjir di Terengganu meningkat lima kali ganda