Warga emas dibunuh, mayat disumbat dalam but kereta

Mayat lelaki warga emas ditemui di dalam but sebuah kereta di Taman Wawasan pada Rabu.
Mayat lelaki warga emas ditemui di dalam but sebuah kereta di Taman Wawasan pada Rabu.
A
A
A

PUCHONG - Perselisihan faham berhubung isu jual beli tayar disyaki menjadi punca seorang lelaki warga emas dibunuh, sebelum mayatnya ditemui dalam but sebuah kereta di Taman Wawasan di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa berusia 70 tahun dilaporkan hilang sejak 31 Disember lalu.

"Keluarga mangsa membuat dua laporan polis berhubung kehilangan warga emas itu di Balai Polis Ara Damansara.

"Keluarganya memaklumkan bahawa berlaku transaksi kad kredit milik mangsa di sebuah pasar raya di Kuala Klawang, Negeri Sembilan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Beliau berkata, susulan laporan itu, seorang lelaki ditahan di sebuah pasar raya di Kuala Klawang, Sabtu lalu.

"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada persengketaan berhubung isu jual beli tayar dianggarkan bernilai RM1,100," katanya.

Menurutnya, suspek yang ditahan adalah seorang ahli perniagaan yang juga pemilik sebuah bengkel kereta.

"Mayat mangsa dijumpai di dalam but sebuah kereta Volvo warna hijau yang juga milik seorang pelanggan suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nik Ezanee berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Puchong telah dipanggil bagi membantu mengeluarkan mayat mangsa.

"Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat," katanya.