Projek blok Hospital Seberang Jaya lewat

Dr Afif (empat,kiri) ketika meninjau perkembangan projek pembangunan yang dilaksanakan di Hospital Seberang Jaya.
Dr Afif (empat,kiri) ketika meninjau perkembangan projek pembangunan yang dilaksanakan di Hospital Seberang Jaya.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Kerajaan Pulau Pinang bimbang kelewatan perkembangan projek pembangunan di Hospital Seberang Jaya.

Exco Kesihatan, Dr Afif Bahardin berkata, kelewatan projek blok baharu hospital yang berjumlah lebih RM368 juta itu sudah mengalami dua tahun kelewatan dari tarikh awal projek disangka siap.

Menurutnya, antara salah satu punca kelewatan projek ialah isu tender terbuka yang sedang dilakukan dan ia seharusnya dirancang pada peringkat awal perlaksanaan projek.

Ekoran daripada beberapa isu yang timbul, Dr Afif berkata, pihaknya akan merujuk perkara ini kepada Kementerian Kewangan bagi melihat langkah yang boleh diambil bagi memastikan isu kelewatan ini dapat ditangani.

“Saya faham bahawa proses tender terbuka penting untuk memastikan ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan sesuatu projek tapi dalam soal projek pembinaan hospital sebesar ini, tender terbuka perlu dilihat pada perancangan awal dan bukannya sewaktu projek sedang berjalan.

“Apabila perolehan dibuka semula secara tender terbuka, ia akan menjadi masalah koordinasi yang mana proses tender terbuka ini menyebabkan projek yang sudah sedia lewat akan bertambah lewat kira-kira setahun lagi. Sebab itu, saya melihat perlu ada perbincangan bersama MOF untuk melihat beberapa prosedur di dalam kerajaan yang boleh diguna pakai bagi mempercepatkan proses pembinaan projek ini,” katanya pada sidang media ketika membuat lawatan di tapak pembinaan Hospital Seberang Jaya di sini semalam.

Menurutnya, sehingga kini hanya empat kontraktor telah diberikan tender manakala 15 kontraktor lagi masih dalam proses tender dan dijangka diputuskan pada hujung bulan ini.

Projek pembinaan bangunan baharu Hospital Seberang Jaya telah bermula sejak 2016 bagi mengatasi masalah kesesakan pesakit serta kekurangan katil.

Artikel Berkaitan:

Bangunan baharu hospital yang dijangka siap pada 2021 itu bakal memuatkan sebanyak enam dewan bedah, 316 katil serta kemudahan-kemudahan hospital yang canggih dan terkini.