'Jangan politikkan SPM'

Mourhrna Anetha Reddy
Mourhrna Anetha Reddy
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengingatkan sesetengah pihak agar tidak mempolitikkan isu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jurucakap Equality Gerakan, Mourhrna Anetha Reddy berkata, pihak tersebut turut disarankan supaya jangan mengucar-ngacirkan sistem pendidikan demi memenuhi agenda politik mereka.

Menurutnya, cadangan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen untuk membatalkan SPM langsung tidak masuk akal.

"Mana bolehnya kita batal peperiksaan yang begitu penting dengan sesuka hati.

"Peperiksaan SPM adalah peperiksaan terakhir yang akan diduduki oleh pelajar sekolah menengah sebelum memasuki Tingkatan Enam atau pendidikan teknik.

"Kalau benar mahu membantu pelajar, bantulah dengan cara yang munasabah dengan memberi pendekatan yang efektif untuk score dalam SPM," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Mourhrna yang juga Pengarah Projek ‘SPM Success Virtual Tuition' berkata, pihaknya sedar bahawa belajar secara dalam talian merupakan cabaran besar bagi pelajar SPM.

"Ya, memang betul ini adalah masa yang genting bagi para pelajar yang akan menduduki sijil peperiksaan SPM. Apatah lagi, apabila mereka terpaksa belajar melalui dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Inilah yang mendorong Gerakan untuk melancarkan Program ‘SPM Success Virtual Tuition’ yang percuma bagi semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM," katanya.

Jelasnya, program yang dilancarkan pada Julai tahun lalu mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan pelajar dari seluruh Malaysia.

Pada masa sama, Mourhrna berkata, Gerakan menyambut baik tindakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang membantah saranan membatalkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan Februari ini.

"Walau apa pun, kita harus kekalkan standard sijil peperiksaan SPM supaya sistem pendidikan negara kita sentiasa bertaraf dunia dan tidak akan dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

"‘Saudara', kalau ya pun nak memberi cadangan, janganlah memberi cadangan seperti 'kanak-kanak’," tegurnya.

Sebelum ini, Chieng Jen mencadangkan agar peperiksaan SPM dibatalkan berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.