2021 fasa kedua larang guna beg plastik

Dianggarkan sebanyak sejuta botol plastik dibeli setiap minit dan 100,000 hidupan laut terbunuh disebabkan plastik pada setiap tahun.
Dianggarkan sebanyak sejuta botol plastik dibeli setiap minit dan 100,000 hidupan laut terbunuh disebabkan plastik pada setiap tahun.
A
A
A

PADA tahun 2017, Kementerian Wilayah telah mengumumkan larangan penggunaan polisterin dan caj bagi beg plastik, diikuti dengan larangan penggunaan straw plastik pada tahun 2018.

Terdapat pelbagai reaksi negatif rakyat ketika itu. Bagi peniaga, mereka perlu akur kerana peraturan itu boleh menyebabkan mereka dikompaun dan lesen ditarik balik tetapi segelintir pengguna pula memandang remah dan memperihalkan kesusahan mereka, lebih-lebih apabila terpaksa minum tanpa straw.

Ramai yang tidak dapat melihat gambaran yang lebih besar mengenai rasional di sebalik pelaksanaan peraturan tersebut.

Dalam satu tulisan yang dikeluarkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) oleh Rosmidzatul Azila Mat Yamin, hasil perangkaan global mendapati bahawa lima trilion beg plastik digunakan setiap tahun dan 13 juta tan daripadanya dibuang ke laut.

Dianggarkan sebanyak sejuta botol plastik dibeli setiap minit dan 100,000 hidupan laut terbunuh disebabkan plastik pada setiap tahun.

Di Malaysia sendiri, dianggarkan secara purata sebanyak sembilan bilion plastik digunakan oleh rakyat Malaysia pada setiap tahun dan sebahagian besarnya juga berakhir di lautan.

Situasi itu begitu membimbangkan kerana plastik merupakan komponen yang tidak mudah mereput. Plastik mengundang bahaya kepada kepelbagaian hidupan laut daripada plankton sehinggalah haiwan yang besar seperti burung laut, penyu, ikan lumba-lumba serta ikan paus.

Selain itu, peningkatan kadar pencemaran plastik di lautan yang serius telah mengundang penyelidik menjalankan kajian terperinci ke atas hidupan dan sumber laut, antaranya kajian yang diketuai Universiti California Davis ke atas ikan di pasar Indonesia dan California, Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

Kajian yang dilakukan mendapati sebanyak 25 peratus sampel ikan yang dikaji mengandungi plastik dan fiber tekstil di dalam perut haiwan berkenaan.

Pencemaran

Kajian oleh Greenpeace pula mendapati bahawa lebih daripada 90 peratus garam yang digunakan di dapur seluruh dunia mengandungi mikroplastik.

Kajian berkenaan yang menganalisis sebanyak 39 jenama garam dari 21 negara di seluruh dunia termasuk negara-negara jiran Malaysia seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam juga mendapati bahawa garam yang dijual di Asia mengandungi kadar pencemaran plastik tertinggi.

Kini, selepas tiga tahun dasar itu dilaksanakan, kita sudah mula menampakkan hasil apabila sudah banyak kedai tidak lagi menyediakan straw plastik, sebaliknya ada yang beralih kepada penggunaan straw kertas.

Ramai juga dalam kalangan pengguna sudah mula membawa beg sendiri apabila berbelanja di pasar raya. Malah, ada juga yang enggan mengambil beg plastik yang ditawarkan oleh pekedai jika barang yang dibeli boleh dipegang dengan tangan.

Jika dahulu, apa sahaja yang dibeli walaupun hanya satu barang, kita akan diberikan beg plastik. Dengan inovasi terkini, beg plastik yang digunakan ketika ini dibuat daripada bahan mudah terurai.

Kita bersyukur kerana langkah yang diambil memang tepat pada masanya. Ia adalah satu kejayaan besar walaupun masih ada lagi kekurangan dan perlu diperbaiki terutama dari segi penguatkuasaan.

Bagaimanapun, setakat ini hanya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya dan Pulau Pinang termasuk Selangor dilihat proaktif dalam melaksanakan dasar tersebut.

Sehubungan itu, tahun ini menyaksikan satu langkah penting iaitu fasa kedua larangan penggunaan beg plastik di semua premis seluruh negara. Perkara itu telah dicapai dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76 pada November 2020.

Ia bermakna caj minimum 20 sen akan dikenakan untuk setiap beg plastik yang diberikan kepada pelanggan di kaunter pembayaran.

Kutipan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk digunakan bagi aktiviti kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat.

Dengan kejayaan besar yang telah dicapai pada peringkat Wilayah Persekutuan, sudah pasti kejayaan yang sama juga boleh dilakukan di seluruh negara.

*Junhari Alyasa ialah Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian