‘Minta adakan pilihan raya ketika ini adalah tindakan memalukan’

Tangkap layar ciapan di Twitter Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Tangkap layar ciapan di Twitter Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan sesetengah parti politk yang meminta supaya diadakan pilihan raya ketika negara masih mengalami pandemik Covid-19 adalah sesuatu yang memalukan, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“2,593 kes baharu Covid-19. Rekod tertinggi. Ia dijangka bertambah buruk. Malangnya ada parti politik yang gilakan pilihan raya sekarang. Memalukan,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Rabu.

Menurutnya, semua pihak ketika ini seharusnya menumpukan usaha untuk menghadapi Covid-19 dan seterusnya memulihkan kembali ekonomi negara.

Pada Rabu, negara merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi baharu iaitu sebanyak 2,593 kes dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 125,438 kes.

Pada masa sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut melaporkan 13 kluster baharu iaitu kluster harian tertinggi setakat ini dengan 10 daripadanya melibatkan tempat kerja di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Sabah.

Terdahulu, pada Ahad, UMNO mendesak agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih 30 negara di dunia sudah mengadakan pilihan raya dalam keadaan mereka berdepan penularan Covid-19.

Ahmad Zahid berkata, prosedur operasi standard (SOP) baharu boleh digunakan bagi melaksanakan PRU15 dalam tempoh berkenaan.

Artikel Berkaitan: