Lelaki edar dadah dicekup PGA

Stor di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah yang diserbu oleh PGA Batalion 7 Kuantan pada Ahad lalu.
Stor di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah yang diserbu oleh PGA Batalion 7 Kuantan pada Ahad lalu.
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang lelaki yang dipercayai bertindak sebagai pengedar dadah dicekup anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan di sebuah stor di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah pada pagi Ahad.

Dalam serbuan jam 9 pagi itu, PGA Batalion 7 turut merampas 102 biji pil kuda, empat gram Syabu dan tujuh botol air ketum.

PGA Batalion 7 turut merampas 2.4 tan beras dan 200 kilogram (kg) beras pulut dalam serbuan itu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk beras dianggarkan berjumlah RM12,498.

"Rampasan ini hasil daripada maklumat berkait penyeludupan dadah yang diterima oleh PGA.

"Pemeriksaan lanjut di bahagian dapur dan belakang kabinet stor berkenaan, PGA telah menemui beg yang mengandungi bahan terlarang itu," katanya.

Menurutnya, PGA turut menemui wang tunai dalam pelbagai 'not' berjumlah RM184.

Beliau berkata, tujuh botol air ketum turut dijumpai di dalam tong plastik di dalam stor berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Azhari berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 28 tahun itu mendapat bekalan dadah tersebut daripada seorang lelaki yang dikenali dengan nama Mi Tok Ca.

"Bahan terlarang itu kemudiannya dijual kepada penagih-penagih sekitar kawasan Lalang Pepuyu.

"Saringan air kencing mendapati suspek negatif dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.