PM ajaklah Najib minum teh

A
A
A

TAHUN 2021 baru bermula, namun iklim politik seolah-olah berada pada permulaan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah, situasi banjir kritikal yang melanda di banyak kawasan tidak dapat mengendurkan bahang politik yang kian membara.

Secara khusus, suasana itu berpunca daripada perbezaan keputusan ekonomi politik oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini yang tidak dipersetujui UMNO.

Terkini, 143 Ketua UMNO bahagian di seluruh Malaysia memutuskan untuk menolak kerjasama dengan parti Bersatu.

Keputusan itu hadir tidak lama selepas kerajaan PN mengumumkan bahawa projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dibatalkan dan kita dijangka perlu membayar ganti rugi sekurang-kurangnya RM310 juta kepada Singapura.

Dalam keadaan rakyat sedang berdepan pelbagai cabaran pandemik Covid-19 dan banjir, ada eloknya jika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN mengambil langkah drastik untuk mengurangkan ketegangan politik negara.

Caranya? Mungkin Perdana Menteri boleh mengajak pemimpin utama UMNO seperti Datuk Seri Najib Tun Razak untuk minum teh tarik bersama-sama bagi meredakan pertembungan antara UMNO-Bersatu.

Cadangan itu kerana antara watak utama dalam pertembungan itu ialah Najib yang jelas menghujahkan fakta dan kepentingan rakyat dalam menolak beberapa keputusan ekonomi politik kerajaan PN, antaranya isu pembatalan HSR KL-Singapura, syarat pengeluaran KWSP dan penjualan RM8 bilion aset Khazanah sejak Mac 2020.

Artikel Berkaitan:

Mungkin kedengaran lucu tetapi melihat situasi politik semasa, cadangan supaya PM minum teh tarik dengan Najib perlu diusahakan, meski pun dalam keadaan realiti perpecahan UMNO-Bersatu hampir tidak dapat dielakkan.

Setiap kritikan dan persoalan yang diajukan Najib ada meritnya. Dalam kes HSR, projek itu dilaporkan akan digantikan dengan projek keretapi Kuala Lumpur-Johor Bahru (HSR KL-JB) yang meski pun lebih perlahan berbanding projek HSR yang asal tetapi dengan anggaran kos yang tidak jauh berbeza berbanding kos asal.

Impak

Akibat pertukaran itu, jumlah penumpang dalam tempoh setahun juga dijangka merosot dengan signifikan iaitu daripada 8.4 juta orang setahun kepada seramai 4.2 juta orang menjelang tahun 2031.

Malah, menurut Najib, kajian menunjukkan Malaysia sebenarnya bakal menerima manfaat yang jauh lebih besar berbanding Singapura dalam projek HSR yang asal.

Bahkan, ada kajian institut Jepun yang melaporkan Malaysia bakal menerima impak positif ekonomi sebanyak 10 kali ganda berbanding Singapura.

Secara logiknya, jika tempoh perjalanan antara kedua-dua negara menjadi lebih singkat dan proses perjalanan berlangsung dengan lebih mudah, maka pastilah lebih ramai pelancong dari Singapura akan berkunjung ke Malaysia dan berkunjung dengan lebih kerap.

Warga Malaysia yang bekerja di Singapura juga tidak perlu berhijrah ke Singapura atau menjadi warganegara Singapura. Sebagai tambahan, kebimbangan Najib berhubung impak pembatalan HSR ke atas projek Bandar Malaysia juga perlu diberi perhatian.

Maka, eloklah Muhyiddin cuba mengadakan pertemuan dengan Najib untuk meredakan ketegangan pengikut kedua-dua pihak.

Benar, sebaik sahaja Najib mengajukan soalan panas mengenai pemberian kontrak projek HSR KL-JB oleh Muhyiddin kepada sekutu politik Tun Dr Mahathir Mohamad – ditambah dengan pendedahan cubaan Najib menyokong Anwar sebelum ini – boleh dikatakan hubungan UMNO-Bersatu sudah boleh dianggap retak menanti belah.

Keputusan 143 Ketua UMNO bahagian mengesahkannya, cuma menjadi harapan rakyat bahawa jika pun UMNO-Bersatu ingin bercerai, maka bercerailah cara baik, bukannya menambah beban rakyat tatkala Covid-19 dan musim banjir.

Jika perceraian sedemikian boleh dielakkan, itu tentulah lebih bagus lagi.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Government and Global Affairs, Leiden University, Belanda