X

Kindly register in order to view this article
!

Dua syarikat bergabung miliki saham KDAFC

Muhammad Sanusi Md Nor
A
A

KUBANG PASU - Dua syarikat bakal menjadi pemilik pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) apabila bergabung untuk membeli 80 peratus saham Darulaman FC Sdn Bhd (DFC) bernilai RM24 juta yang kini dimiliki Menteri Besar Incorporated (MBI).

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pemilihan Go Auto Group dan Flumen Holdings Sdn Bhd dibuat kerana mempunyai rekod dan potensi kewangan baik.

Menurutnya, kedua-dua syarikat tersebut mempunyai perancangan pembangunan perniagaan bola sepak yang membawa nilai dan aktiviti pelaburan berimpak tinggi kepada negeri.

"Kedua-dua syarikat tersebut akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang akan dimeterai dalam tempoh terdekat bagi memiliki 80 peratus saham tersebut.

"Pemilik syarikat ini juga adalah anak jati Kedah selain ada dalam kalangan mereka berpengalaman dalam pengurusan sukan bola sepak sebelum ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penghuni Perumahan Generasi Baharu Felda di Felda Laka Selatan, di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Go Auto telah beroperasi dan mempunyai kilang automotif di Gurun sejak 2015 mengeluarkan kenderaan jenama seperti Haval dan Borgward dari China serta bas elektrik jenama Go Auto sendiri.

Tambahnya, KDA FC telah diminta untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama syarikat terbabit bagi memuktamadkan pembelian secepat mungkin.

"Dia (syarikat) membuat penawaran, selepas ini kita akan arahkan KDA FC yang dimiliki MBI untuk berunding, saya ingat satu rundingan sudah cukup kerana ada pihak sudah mahu membeli saham.

"Selepas diperhalusi dan dipersetujui dalam Mesyuarat EXCO hari ini, kita bersetuju menjual saham bernilai RM24 juta berkenaan kepada mereka," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!