X

Kindly register in order to view this article
!

WHO kecewa dengan China

Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP
A
A

GENEVA - Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa menzahirkan kekecewaan kerana China masih tidak memberikan akses kepada pasukan pakar antarabangsa untuk menyiasat asal-usul Covid-19.

“Seramai dua anggota pasukan itu sudah memulakan perjalanan ke China. Namun, kami dimaklumkan pegawai di Beijing belum memuktamadkan kebenaran yang diperlukan.

“Saya telah menghubungi pegawai kanan di sana dan sekali lagi menyatakan dengan jelas bahawa ia adalah misi yang penting kepada WHO,” tegas Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi sidang media secara maya di Geneva.

Misi tersebut bakal diketuai pakar penyakit berkaitan haiwan agensi PBB itu, Peter Ben Embarek yang pernah menyertai sesi awal pada Julai 2020.

Sementara itu, Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan memaklumkan ia berpunca daripada masalah pengurusan visa.

“Kami berharap ia hanyalah masalah logistik dan birokrasi yang dapat diselesaikan dengan segera,” ujarnya.

Difahamkan, pasukan terdiri daripada 10 pakar antarabangsa dijadualkan tiba di Beijing pada minggu ini beberapa bulan selepas badan antarabangsa terbabit cuba berunding dengan pemerintah China untuk mendapatkan kebenaran terbabit susulan penemuan kes pertama Covid-19 pada akhir 2019.

China dalam satu kenyataan bagaimanapun menjelaskan punca utama misi tersebut ditunda lagi bukan semata-mata kerana ‘isu visa’.

Jurucakap Kementerian Luar, Hua Chunying berkata, rundingan masih berlangsung mengenai tarikh dan pengaturan khusus lawatan pasukan pakar terbabit kerana ia adalah satu misi yang ‘sukar’ dan Beijing perlu memastikan ia berjalan lancar. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!