Lapan sahabat redah banjir hantar barang dapur

Sekumpulan lapan sahabat yang berhati mulia menghantar ayam dan santan secara percuma kepada penduduk.
Sekumpulan lapan sahabat yang berhati mulia menghantar ayam dan santan secara percuma kepada penduduk.
A
A
A

TANAH MERAH - Lapan sahabat sanggup meredah banjir sedalam 0.5 meter di sini demi membuat penghantaran barang dapur secara percuma kepada penduduk yang terperangkap di Kampung Kulim.

Kerja murni lapan sekawan yang berusia lingkungan 13 hingga 25 tahun itu bermula pada Rabu setelah jajahan Tanah Merah mula dilanda banjir agak teruk berikutan hujan lebat.

Sekumpulan lelaki berkenaan ditemui pemberita ketika melakukan tinjauan banjir yang diketuai oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Rafain Mat Zin sekitar Gual Ipoh pada petang Rabu.

Ketika ditemui dalam suasana hujan lebat hari ini, kelihatan lima lelaki sedang memikul 30 ekor ayam setiap seorang manakala selebihnya memikul bungkusan santan sedang mengharung banjir lebih tiga kilometer.

Walaupun kelihatan kesejukan namun salah seorang daripadanya, Mohd Afiq Aiman Ramli, 22, berkata, dia tetap gembira kerana dapat membantu penduduk dalam keadaan tidak terjangka sebegini.

Mohd Afiq Aiman meredah banjir untuk menyerahkan ayam dipesan penduduk kampung yang terperangkap.
Mohd Afiq Aiman meredah banjir untuk menyerahkan ayam dipesan penduduk kampung yang terperangkap.

“Idea menolong secara percuma ini timbul apabila pembekal di sini tidak dapat menghantar tempahan penduduk. Jadi kami berpakat untuk bantu.

“Ini pertama kali kami buat. Kami bimbang penduduk terputus bekalan disebabkan banjir kali ini agak teruk dan air naik dengan cepat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Afiq Aiman berkata, dia sudah ulang alik ‘bermain air’ sejak jam 10 pagi lagi dan kerja penghantaran dibuat secepat mungkin dan penuh berhati-hati kerana bimbang air naik dengan cepat.

Sementara itu, seorang lagi rakannya, Aiman Fauzi, 13, berkata, demi keselamatan diri penghantaran barangan dibuat secara berkumpulan.

Perahu juga digunakan untuk memasuki kawasan yang teruk bagi menghantar ayam dan santan.
Perahu juga digunakan untuk memasuki kawasan yang teruk bagi menghantar ayam dan santan.

“Macam-macam saya fikir sebab musim banjir, tapi apa yang kami buat ini mendapat kebenaran ahli keluarga.

“Memang sangat sejuk, tak tahan sampai menggigil apatah lagi kami hantar dalam keadaan hujan. Tapi sebab niat nak bantu masyarakat kami jadi lebih bersemangat,” katanya.

Kongsinya juga, sebelum menggunakan perahu milik penduduk untuk masuk ke kawasan terjejas teruk dia bersama rakan-rakan terpaksa meredah banjir dengan berjalan dari Kampung Liku ke Kampung Kulim.