Covid-19: Kelonggaran punca peningkatan kes positif mendadak

Tindakan memberi kelonggaran merentas sempadan pada 7 Disember lalu telah menjadi punca peningkatan kes positif Covid-19 yang mendadak. Foto Bernama
Tindakan memberi kelonggaran merentas sempadan pada 7 Disember lalu telah menjadi punca peningkatan kes positif Covid-19 yang mendadak. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan memberi kelonggaran merentas sempadan pada 7 Disember lalu telah menjadi punca peningkatan kes positif Covid-19 yang mendadak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes dijangka terus berlaku sehingga dua minggu lagi selepas sambutan Tahun Baru Cina.

"Walaupun rakyat diseru untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kita lihat ada pertambahan kes sejak 31 Disember lalu," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sini pada Rabu.

Menurutnya, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengkaji semula strategi yang dilaksanakan sejak 14 Oktober lalu.

"Memang membimbangkan KKM dengan trend terkini peningkatan kes walaupun kita mampu mengelak lonjakan sehingga 4 juta kes, tetapi tidak berjaya menurunkan R-naught (Rt) kepada 0.5," katanya.

Beliau berkata, kedudukan Rt pada nilai 1.1, 1.2 dan lebih memerlukan strategi baharu diambil.

"Kita sedang berbincang dengan MKN dan berharap agar ia dapat diputuskan secepat mungkin," katanya.

Mengulas lanjut mengenai strategi tersebut, Dr Noor Hisham berkata, ia akan mengambil kira keadaan jangkitan semasa mengikut negeri serta melindungi kumpulan rentan dan negeri yang dikategorikan sebagai hijau seperti Sarawak dan Perlis.

Artikel Berkaitan:

"Ia lebih kepada pendekatan bersasar berbanding dengan implementasi di seluruh negara seperti yang kita lakukan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu," katanya.

Sementara itu, bagi memastikan kapasiti fasiliti dalam keadaan baik, KKM mempertimbangkan untuk menempatkan pesakit Covid-19 rakyat tempatan yang tidak bergejala di pusat kuarantin yang diwartakan.

"Jika mereka berkemampuan mungkin boleh menjalani kuarantin di hotel," katanya.

Katanya, pusat kuarantin yang diwartakan digunakan untuk kuarantin individu baru pulang dari luar negara.

"Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan digunakan untuk menempatkan pekerja asing yang tiada tempat yang sesuai untuk diasingkan," katanya.