Dua faktor beri BN kelebihan menang: Khir Toyo

Khir Toyo
Khir Toyo
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama baik antara BN dan Pas mampu menjadi faktor utama yang akan memberi kelebihan untuk calon BN meraih undi lebih besar di PRK DUN Semenyih pada 2 Mac depan berbanding faktor siapa calon yang bakal diletakkan.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, berkata, prestasi PH yang dilihat semakin ‘longlai’ juga peluang terbaik bagi BN untuk mencapai hasrat merampas semula kerusi yang pernah disandang selama dua penggal sebelum ini.

“Di Semenyih terdapat 68 peratus pengundi Melayu, 17 Cina dan 13 peratus pengundi India. Melalui kajian kita pada PRU lepas, 38 peratus pengundi Melayu mengundi Umno, lebih kurang 33 peratus pengundi Melayu mengundi Pas.

“Jadi, kalau kita lihat hasil kerjasama Pas dan Umno ini kita boleh beranggapan, 71 peratus pengundi Melayu masih dengan Umno dan Pas dan ini terbukti di Cameron Highlands,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Bicara Minda bersama Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Karangkraf, di sini semalam.

Beliau berkata, Umno dan Pas perlu terus menunjukkan kerjasama yang baik dan dalam masa sama Umno juga dilihat tidak perlu berebut untuk menjadi calon.

“Jika ada orang Umno berebut untuk menjadi calon, ia akan memperlihatkan Umno itu tidak berubah. Kerana kita lihat perebutan itu berlaku antara Bersatu dan golongannya dan PKR dengan kumpulannya yang ingin bertanding di Semenyih.

“Jadi ini antara faktor yang kuat untuk kita menang di Semenyih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau berkata, BN tidak boleh terlalu selesa atas platform kerjasama dengan Pas untuk menang dengan meraih undi Melayu sebaliknya perlu bekerja lebih keras dalam meraih undi Cina dan India.

“Peluang (menang) ini masih 50-50 walaupun kita lihat dari pencampuran jumlah pengundi Pas dan pengundi Umno itu, kita masih kalah lebih kurang 2,000 undi daripada PH,” katanya.

Ditanya potensi kemenangan BN jika spekulasi bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diletakkan sebagai calon BN sahih, beliau menyifatkan siapapun calon tidak menjadi masalah.

“Kerjasama (BN dan Pas) kini nampak lebih kuat dan mereka (pengundi) lebih yakin dengan dengan kita selepas kemenangan di Cameron Highlands,” katanya.

Beliau bagaimanapun berpendirian, pemilihan orang muda wajar diberi keutamaan sebagai calon menjadikan satu nilai tambah kepada potensi kemenangan BN pada PRK ini.

“Jika dibandingkan peratusan kekalahan calon muda berbanding calon berumur pada PRU lepas, nampak jelas calon berumur kalah lebih tinggi daripada calon muda.

"Jadi, kita kena beri peluang kepada muka baharu dan mereka yang lebih bertenaga serta bersifat terbuka di samping mempunyai jati diri yang dalam terhadap perjuangan,” katanya.