Tarikh fasa kedua BPN 2.0 diumum tidak lama lagi: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengumumkan tarikh pembayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) dalam masa terdekat, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengumumkan dalam masa terdekat ini permohonan baharu dan rayuan yang diluluskan yang dijangka disalurkan mulai bulan ini juga.

Menurutnya, proses semakan permohonan baharu dan rayuan BPN 2.0 masih dijalankan.

“Penunaian fasa pertama BPN 2.0 melalui BSN bagi mereka yang gagal kredit juga masih sedang diteruskan,” katanya semasa membentangkan Laporan Laksana ke-35, laporan pertama bagi 2021 pada Rabu.

Mengenai Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0, Tengku Zafrul berkata, proses semakan permohonan baharu dan rayuan sedang melalui proses semak silang antara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pihak berkuasa tempatan dan keputusan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Mengenai fasa pertama Program Subsidi Upah (PSU 1.0) yang mana permohonan ditutup pada 30 September 2020, beliau berkata, sehingga 25 Disember 2020, permohonan subsidi upah yang diluluskan mencapai nilai RM12.682 bilion berbanding RM12.608 bilion pada minggu sebelumnya.

Bagi PSU 2.0, yang bermula pada 1 Oktober 2020, beliau berkata, setakat 25 Disember 2020, sejumlah RM418.67 juta telah disalurkan kepada 39,203 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 307,420 pekerja berbanding RM239.73 juta bagi 51,022 majikan dan 420,193 pekerja pada minggu sebelumnya.

Mengenai peruntukan RM2 bilion di bawah Penjana PKS (perusahaan kecil dan sederhana) beliau berkata, pembiayaan bernilai RM1.12 bilion melibatkan 5,764 permohonan telah diluluskan setakat 25 Disember 2020.

Artikel Berkaitan:

Bagi peruntukan RM1 bilion di bawah Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana khusus bagi PKS dan PKS mikro dalam sektor ini yang masih terkesan dengan Covid-19, beliau berkata, setakat 25 Disember, terdapat 550 permohonan bagi pembiayaan ini dan daripada jumlah ini sebanyak 261 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM52.8 juta berbanding 245 permohonan dengan nilai RM49.9 juta pada 11 Disember 2020.

Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS) juga khas untuk PKS Mikro.

“Sehingga 25 Disember 2020, sebanyak RM99.4 juta telah disalurkan di bawah TBRS dan memanfaatkan 14,893 PKS Mikro,” katanya.

Mengenai Pembiayaan Mikro Kredit Penjana di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) Tengku Zafrul berkata, setakat 25 Disember 2020, RM282.8 juta telah disalurkan bagi memanfaatkan 8,158 PKS Mikro termasuk dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan.

Bagi peruntukan RM200 juta Bumiputera Relief Financing (BRF), yang diuruskan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), beliau berkata, setakat 25 Disember 2020, dana ini telah disalurkan kepada 322 PKS melibatkan jumlah RM82.8 juta berbanding 270 PKS dengan jumlah RM68.2 juta pada 11 Disember 2020.

Dari segi sokongan pembiayaan RM400 juta bagi Industri Pertanian dan Makanan kepada golongan petani, peladang dan nelayan, beliau berkata, RM350 juta merupakan peruntukan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank.

“Sehingga 25 Disember 2020, sebanyak RM64.7 juta telah disalurkan di bawah skim ini bagi memanfaatkan 6,325 PKS Mikro pertanian berbanding RM60.9 juta untuk 6,094 PKS Mikro pertanian pada 11 Disember 2020,” katanya.

Mengenai pengecualian 100 peratus duti eksport kepada sektor komoditi yang juga merangkumi industri berasaskan minyak sawit, bagi merangsang pertumbuhan sektor komoditi dan nilai eksport negara, setakat 25 Disember 2020, nilai pengecualian duti eksport yang berjaya dimanfaatkan oleh industri komoditi negara ialah sebanyak RM426.9 juta berbanding RM373 juta pada 11 Disember 2020.

Bagi pelepasan cukai jualan bagi kenderaan penumpang, beliau berkata, setakat 25 Disember 2020, nilai pelepasan cukai jualan yang telah dimanfaatkan adalah berjumlah RM197.57 juta berbanding RM192.7 juta pada minggu sebelumnya.

Mengenai Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PEKA B40) antara tempoh 1 Julai sehingga 25 Disember 2020, sebanyak 191,737 tuntutan diterima dengan nilai RM19.57 juta berbanding 186,312 tuntutan dengan jumlah RM18.35 juta pada minggu sebelumnya.

Bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, setakat 25 Disember 2020, seramai 128,778 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini berbanding 122,126 pekerja pada minggu sebelumnya.

Di bawah Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran, beliau berkata, setakat 25 Disember 2020, seramai 130,385 individu telah diluluskan untuk mengambil bahagian dalam program yang disediakan berbanding 129,667 individu pada minggu sebelumnya.

Mengenai subsidi pengangkutan awam MY30, Tengku Zafrul berkata, setakat 25 Disember 2020, sebanyak RM127.74 juta telah disalurkan bagi langganan 751,414 pas bulanan pengangkutan awam tanpa had bernilai RM30 ini, yang disediakan khusus untuk warganegara Malaysia berbanding RM123.8 juta bagi 728,225 pas bulanan pada 11 Disember 2020. - Bernama