Mangsa banjir di Terengganu meningkat lima kali ganda

Penternak Kerbau, Mohd Idrus Sulaiman, 47, berusaha menyelamatkan kerbau ternakannya selepas kandang haiwan berkenaan ditenggelami banjir berikutan hujan lebat ketika tinjauan di Kampung Belimbing, Jongok Batu, Dungun, hari ini.
 - Foto Bernama
Penternak Kerbau, Mohd Idrus Sulaiman, 47, berusaha menyelamatkan kerbau ternakannya selepas kandang haiwan berkenaan ditenggelami banjir berikutan hujan lebat ketika tinjauan di Kampung Belimbing, Jongok Batu, Dungun, hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keadaan cuaca dengan hujan berterusan terutamanya di bahagian hulu menyebabkan keadaan banjir di negeri ini kembali buruk, dengan jumlah mangsa kini meningkat hampir lima kali ganda, berbanding pagi Rabu.

Sehingga jam enam petang ini, jumlah mangsa banjir di Terengganu mencecah 1,306 orang, berbanding hanya 267 mangsa pada jam lapan pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sebanyak 339 keluarga kini ditempatkan di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah, iaitu Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.

“Hulu Terengganu adalah daerah terbaharu yang terjejas, dengan dua PPS dibuka hari ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung Menerong dan Pengkalan Ajal. Dua PPS ini menempatkan 70 mangsa dari 21 keluarga.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggunakan bot bagi menyelamatkan penduduk yang terjejas banjir berikutan hujan lebat ketika tinjauan di Kampung Belimbing, Jongok Batu, Dungun hari ini. - Foto Bernama
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggunakan bot bagi menyelamatkan penduduk yang terjejas banjir berikutan hujan lebat ketika tinjauan di Kampung Belimbing, Jongok Batu, Dungun hari ini. - Foto Bernama

“PPS di Dungun yang kembali dibuka pagi tadi kini meningkat kepada empat PPS, iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Serbaguna Kampung Shukor, Dewan Orang Ramai Kampung Minda dan Masjid Jongok Batu.

“Jumlah mangsa di Dungun juga meningkat kepada 257 orang, melibatkan 81 keluarga,” katanya.

Kemaman kekal menjadi daerah yang paling terjejas, dengan jumlah mangsa meningkat kepada 979 orang daripada 237 keluarga dan kesemua mangsa kini ditempatkan di sembilan PPS.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, sembilan sungai di negeri ini sudah melepasi paras bahaya iaitu tiga sungai di Kemaman dan masing-masing dua sungai di Dungun, Hulu Terengganu dan Besut.

Di Kemaman, Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman merekodkan bacaan 5.97 meter, Sungai Tebak di Jambatan Tebak (19.74 meter) dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih (15.81 meter).

Di Dungun pula, Sungai Dungun di Kuala Jengai mencatatkan 22.90 meter dan Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja (38.69 meter), manakala di Hulu Terengganu, Sungai Telemong di Kuala Ping (20.05 meter) dan Sungai Besar di Menerong (24.87 meter).

Sungai Besut di Kampung La turut melepasi paras bahaya, iaitu 22.82 meter dan Sungai Besut di Jambatan Keruak pula 36.89 meter.