Boy Iman didenda RM5,000, gagal patuhi perintah TTPM

Boy Iman - Foto internet
Boy Iman - Foto internet
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelakon dan penerbit ‘Boy Iman’ serta syarikatnya DBI Properties Sdn Bhd, didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana tidak mematuhi perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang dikeluarkan tiga tahun lepas.

Majistret Shah Wira Abdul Halim menjatuhkan hukuman itu selepas Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman, 41, selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

Shah Wira menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara setahun terhadap Boy Iman dan RM2,000 terhadap DBI Properties. OKS membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Boy Iman dan DBI Properties didapati telah gagal mematuhi perintah TTPM bertarikh 28 Feb 2017 yang dibuat di Pejabat TTPM di sini yang memerintahkan OKS dan syarikatnya membayar RM12,000 kepada Hanis Mohd Samah, 58, iaitu pihak yang menuntut dalam tuntutan tersebut, selepas 14 hari dari tarikh perintah diserahkan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat TTPM di Persiaran Perdana Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, di sini pada 5 Okt 2017 mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999, dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Terdahulu, peguam Mohd Asmawi Mohd Yusof yang mewakili OKS, memohon denda minimum memandangkan anak guamnya telah membayar separuh daripada jumlah tersebut.

“Sebelum ini, OKS telah membayar RM6,000, manakala bakinya akan dibayar oleh rakan kongsi syarikat tersebut, namun pembayaran yang dijanjikan itu telah gagal dibuat. Dalam perbincangan, OKS dan rakan kongsinya itu berjanji untuk membayar separuh-separuh. OKS juga telah diisytiharkan muflis,” katanya.

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Khatijah Abdul Rajah memohon hukuman setimpal terhadap OKS, mengambil kira kerugian yang dialami pengadu dalam kes ini.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu pengakuan salah bukan faktor untuk mahkamah meringankan hukuman terhadap OKS, apatah lagi dalam kes ini OKS menunjukkan sikap tidak serius dan tidak gentar dengan undang-undang. Tambahan pula OKS merupakan seorang selebriti,” katanya.

Mengikut fakta kes, semasa pendengaran kes di TTPM pada 28 Februari 2017, OKS gagal menghadirkan diri walaupun telah ada dalam pengetahuannya berkenaan tuntutan terhadapnya. Presiden Tribunal telah memerintahkan OKS membayar balik kepada pihak yang menuntut, iaitu Hanis sebanyak RM12,000 dalam masa 14 hari dari tarikh perintah diserahkan.

Pada 21 Mac 2017, OKS yang juga salah seorang pengarah syarikat DBI Properties telah menerima salinan perintah melalui serahan tangan, oleh pasukan penguat kuasa bagaimanapun selepas tiga tahun, perintah itu masih gagal dipatuhi.

Pada 10 Oktober tahun lepas, Mahkamah Majistret Putrajaya telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Boy Iman selepas gagal hadir pada sebutan kali pertama kes tersebut dan menetapkan Rabu untuk sebutan kedua. OKS ditangkap pada Selasa. - Bernama