Warga asing ditahan tinggal lebih masa di Langkawi

Sebahagian 10 lelaki warga asing yang ditahan Imigresen dalam serbuan Op Bersepadu di sekitar Kampung Ulu Melaka dan Kedawang, Langkawi awal pagi Rabu. FOTO: Ihsan Jabatan Imigresen Kedah
Sebahagian 10 lelaki warga asing yang ditahan Imigresen dalam serbuan Op Bersepadu di sekitar Kampung Ulu Melaka dan Kedawang, Langkawi awal pagi Rabu. FOTO: Ihsan Jabatan Imigresen Kedah
A
A
A

LANGKAWI - Seramai 10 lelaki warga asing ditahan Jabatan Imigresen Kedah dalam serbuan Op Bersepadu di sekitar Kampung Ulu Melaka dan Kedawang, awal pagi Rabu.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada sembilan warga Pakistan dan seorang warga Cameroon, berusia antara 24 hingga 35 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mereka telah melakukan pelbagai kesalahan antaranya tinggal lebih masa dan tidak memilki dokumen perjalanan yang sah.

“Bertindak atas maklumat orang ramai dan hasil risikan, kita menyerbu sebuah rumah sewa di sekitar Ulu Melaka dan Kedawang, bermula jam 12.30 malam dan berakhir sekitar 2.30 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zuhair berkata, kesemua mereka ditahan di lokap Imigresen, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Langkawi untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Mereka akan dibawa ke Depot Tahanan Imgresen Belantik, Sik untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), iaitu tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 akta sama, kerana tidak memilki dokumen perjalanan sah.

Zuhair berkata, operasi terbabit disertai 16 pegawai Imigresen dari Bahagian Penguat kuasa Anak Bukit serta cawangan Imigresen Langkawi.

Artikel Berkaitan: