X

Kindly register in order to view this article
!

1,000 pelajar sertai MSU Shah Alam Heritage Walk secara maya

Mohd Shukri (tiga dari kiri) bersama Haris (empat dari kiri) bersama tetamu yang hadir dan pelajar ketika program MSU Shah Alam Heritage Walk: Virtual Edition 2021 pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - Seramai 1,000 pelajar Management and Science University (MSU) menyertai MSU Shah Alam Heritage Walk: Virtual Edition 2021 yang diadakan secara maya pada Rabu.

Presidennya, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, seramai 600 pelajar mengikuti program itu melalui saluran YouTube, manakala 300 pelajar melalui aplikasi zoom dan selebihnya berada di Teater Seni Persembahan atau Performing Art Theatre universiti itu.

Menurutnya, program berkenaan julung kalinya diadakan secara maya berbanding sebelum ini yang diadakan secara fizikal.

“Tujuan program ini diadakan untuk memberikan manfaat kepada pelajar dan salah satu perkara yang ditekankan oleh MSU ialah setiap pelajar akan menamatkan pengajian mereka mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Keperluan akademik mereka kita ubah daripada fizikal kepada virtual dan pada masa yang sama kita turut membangunkan karektor mereka selain mengekalkan nilai yang baik sekali gus melahirkan graduan yang terbaik,” katanya.

Mohd Shukri ketika berucap pada program MSU Shah Alam Heritage Walk: Virtual Edition 2021 pada Rabu.
Mohd Shukri ketika berucap pada program MSU Shah Alam Heritage Walk: Virtual Edition 2021 pada Rabu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup MSU Shah Alam Heritage Walk: Virtual Edition 2021 di MSU pada Rabu.

Hadir sama,Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim dan Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad.

Program berkenaan dianjurkan oleh Sekolah Hospitaliti dan Seni Kreatif (SHCA), MSU berkolaboratif bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Tourism Selangor.

Mohd Shukri berkata, MSU bekerjasama dengan MBSA untuk menjadikan Shah Alam sebagai ibu negeri yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Tambahnya, program berkenaan bermatlamat untuk menerapkan kesedaran budaya serta mempromosikan keunikan 17 mercu tanda bandaraya Shah Alam dalam kalangan pelajar khasnya dan masyarakat amnya.

“Kesan penularan Covid-19, menyebabkan program itu diadakan secara dalam normal baharu secara maya. Antara perhentian-perhentian ikonik yang terlibat ialah Muzium Sultan Alam Shah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Makam Diraja Shah Alam,” katanya.

Selain itu, ikonik lain ialah Perpustakaan Awam Raja Tun Uda, Bangunan Galeri Shah Alam, Teater Diraja Shah Alam, MBSA, Taman Botanikal Shah Alam serta pelbagai mercu tanda ikonik di bandaraya itu.

“Sebelum ini, program sebegini yang diadakan ialah MSU Kuala Lumpur Heritage Walk pada tahun 2018 dan Royal Klang Town Heritage Walk pada tahun 2020 yang melibatkan aktiviti berjalan kaki yang diketuai oleh pemandu pelancong terlatih.

“Mereka menyelusuri perhentian-perhentian yang terdiri daripada bangunan-bangunan warisan yang masih kekal strukturnya dan mempunyai nilai sejarah yang menarik,” katanya.

Beliau berkata, program berbentuk bimbingan itu juga bermatlamat menerapkan kemahiran pelajar dari segi pembangunan diri dan mengetengahkan kepentingan sejarah kepada generasi muda mengenai sejarah warisan negara amnya dan khasnya bandaraya Shah Alam.

Dalam program sama, SHCA menyerahkan sumbangan RM15,000 kepada Naib Presiden Kanan Wakaf dan Komunikasi MSU, Datuk Rosli Yusof yang mewakili Yayasan MSU.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!