Jumlah mangsa banjir di Johor menurun kepada 3,560

Pusat pemindahan sementara di Kolej Vokasional Kota Tinggi.
Pusat pemindahan sementara di Kolej Vokasional Kota Tinggi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di Johor menurun kepada 3,560 orang daripada 902 keluarga setakat jam 12 tengah hari pada Rabu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu terus menunjukkan penurunan berbanding 3,566 orang daripada 903 keluarga setakat jam 8 pagi.

"Bilangan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri juga berkurangan dan kini berjumlah 31 PPS susulan PPS di Balai Raya Kampung Jabi, Segamat ditutup jam 10 pagi tadi.

"Enam daerah masih terjejas banjir iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Mersing dan Segamat," katanya dalam menerusi kenyataan pada Rabu.

Vidyananthan berkata, Kota Tinggi masih mencatatkan daerah paling ramai mangsa banjir yang ditempatkan di 17 PPS iaitu 2,126 orang daripada 534 keluarga, mereka ditempatkan di sekolah, dewan, balai raya dan surau.

Katanya, seramai 914 orang daripada 222 keluarga melibatkan enam PPS di Kluang diikuti Mersing seramai 292 orang daripada 77 keluarga (tiga PPS) dan 90 orang daripada 24 keluarga di Segamat (tiga PPS).

"Di Johor Bahru pula melibatkan 72 orang daripada 24 keluarga (satu PPS) dan Batu Pahat seramai 71 orang daripada 22 keluarga (dua PPS)," katanya.

Katanya, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi air pasang terus berlaku di Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kukup, Pontian pada Rabu.

Artikel Berkaitan: