X

Kindly register in order to view this article
!

8,653 polis bantu operasi banjir: Hamzah

Beberapa penduduk menggunakan bot meredah banjir untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian ketika tinjauan di sekitar kawasan Paya Garok, Jerantot, hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 8,653 pegawai dan anggota polis daripada enam kontinjen negeri telah dilibatkan bagi membantu operasi banjir, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Rabu.

Beliau dalam kenyataan pada Rabu berkata, enam kontinjen berkenaan ialah Selangor, Perak, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu selain sebanyak 1,329 pelbagai aset kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diatur gerak.

Hamzah berkata, berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20 (Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara), Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui jabatan dan agensi di bawahnya telah bergerak secara bersepadu dalam menghadapi dan membantu mangsa berikutan banjir yang sedang melanda negara ketika ini.

Selain itu, beliau berkata seramai 1,662 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dikerahkan untuk membantu mangsa banjir di enam negeri iaitu Selangor, Perak, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu serta ditugaskan di pusat pemindahan sementara.

“Sebanyak 59 aset kenderaan Rela telah diatur gerak melibatkan 23 kenderaan utiliti sukan jenis SUV, tujuh kenderaan darat pacuan empat roda, dua lori, lapan kereta peronda jenis MPV, 10 (kereta) sedan dan sembilan van,” katanya.

Hamzah berkata, aset-aset strategik seperti pesawat udara AW 139 dan bot-bot peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersedia untuk diatur gerak bagi operasi membantu dan menyelamatkan mangsa banjir.

Beliau berkata, operasi bantuan itu melalui koordinasi bersama pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terutamanya bagi kegunaan di negeri-negeri terjejas teruk seperti Johor dan Pahang.

“Selain itu, aset-aset awam seperti bas, lori dan trak berkapasiti besar milik Jabatan Imigresen juga akan dilibatkan dalam operasi-operasi banjir di seluruh negara.

"Bagi membantu memudahkan urusan mangsa banjir yang kehilangan dokumen-dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan dan sijil kelahiran, Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah digerakkan ke kawasan-kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata, melalui Unit Bergerak JPN, mangsa-mangsa banjir tidak perlu lagi hadir ke cawangan JPN negeri masing-masing untuk memohon dokumen berkenaan.

Sehubungan itu, KDN ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat mangsa-mangsa banjir.

“Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03- 22663333 atau 03-22663444,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!