YPM salur RM2.6 juta bantuan persekolahan

Pelajar gembira menerima bantuan persekolahan sempena pelancaran Program Back To School 2021@KPLB Peringkat Kebangsaan MRSM Mersing, Johor pada Ahad lalu.
Pelajar gembira menerima bantuan persekolahan sempena pelancaran Program Back To School 2021@KPLB Peringkat Kebangsaan MRSM Mersing, Johor pada Ahad lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menyalurkan sumbangan sebanyak RM2.6 juta kepada 44,400 pelajar seluruh negara di bawah skim bantuan persekolahan, Program Back To School 2021@KPLB.

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) YPM itu dilaksanakan menjelang sesi awal persekolahan melibatkan pemberian bantuan keperluan persekolahan kepada pelajar miskin atau kategori B40 bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa pelajar.

Menurutnya, sumbangan yang disalurkan tahun ini meningkat berbanding tahun lalu yang menyaksikan sejumlah RM1.8 juta bantuan diagihkan membabitkan 31,758 pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Pelaksanaan Program ‘Back To School’ YPM yang dijalankan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan juga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar.

“Melalui kerjasama ini PPD melalui sekolah mengenal pasti pelajar dalam kategori miskin atau B40 manakala YPM menyediakan peruntukan untuk disalurkan kepada pelajar-pelajar yang telah dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelancaran Program Back To School 2021@KPLB Peringkat Kebangsaan telah diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mersing, Johor pada Ahad lalu.

Katanya, selain untuk mengurangkan beban ibu bapa berpendapatan rendah, program itu juga diadakan untuk membantu pelajar kurang berkemampuan di kawasan luar bandar mengikuti sesi persekolahan dengan sempurna serta selesa.

“Sumbangan tersebut juga bagi memberi galakan kepada pelajar-pelajar untuk berusaha lebih gigih bagi mencapai kecemerlangan sahsiah dan akademik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak RM2.6 juta peruntukan disediakan untuk Program Back To School 2021@KPLB.
Sebanyak RM2.6 juta peruntukan disediakan untuk Program Back To School 2021@KPLB.