Banjir di pantai timur makin buruk

Kelihatan sebuah rumah ditenggelami banjir yang melanda sekitar kawasan Paya Garok, Jerantut. Foto Bernama
Kelihatan sebuah rumah ditenggelami banjir yang melanda sekitar kawasan Paya Garok, Jerantut. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di pantai timur bertambah buruk petang ini berikutan hujan lebat dan peningkatan paras air sungai sekali gus menyaksikan peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri-negeri terbabit.

Di Kelantan, situasi banjir semakin memburuk melibatkan lima jajahan dengan jumlah mangsa dipindahkan ke PPS seramai 2,142 orang daripada 567 keluarga setakat petang ini, berbanding 125 mangsa pagi tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jajahan Jeli mencatat jumlah penduduk yang terjejas teruk dengan 1,060 mangsa daripada 296 keluarga ditempatkan di 10 PPS.

Di Kuala Krai, 18 PPS diaktifkan bagi menempatkan 643 mangsa daripada 144 keluarga; Tanah Merah (352 mangsa daripada 98 keluarga di 11 PPS); Gua Musang (54 mangsa daripada 13 keluarga di empat PPS) dan di Pasir Mas membabitkan 33 mangsa daripada 16 keluarga dipindahkan ke dua PPS.

Dalam pada itu, menurut infobanjir.water.gov.my, setakat petang ini enam sungai di negeri ini merekodkan bacaan melepasi paras bahaya (PB) iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang 60.13 meter (m) (PB 59.00 m); Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai 35.58 m (PB 35.00 m); Sungai Kelantan di Kuala Krai 26.65 m (PB 25.00 m); Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah 16.70 m (PB 16.00 m); Sungai Golok di Jenob 24.24 (PB 23.50 m); dan Sungai Galas di Dabong 39.26 m (PB 38.00 m).

Beberapa penduduk menggunakan bot meredah banjir untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian ketika tinjauan di sekitar kawasan Paya Garok hari ini. Foto Bernama
Beberapa penduduk menggunakan bot meredah banjir untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian ketika tinjauan di sekitar kawasan Paya Garok hari ini. Foto Bernama

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran dijangka berlaku banjir di jajahan Kuala Krai hari ini mulai 12 tengah hari melibatkan lembangan Sungai Galas iaitu di kawasan Pekan Dabong, Pengkalan Bot Kampung Bahagia dan kawasan sekitarnya.

Mulai petang ini juga banjir diramal berlaku melibatkan Sungai Nal, Sungai Durian dan Sungai Pahi di kawasan Kampung Bedal; Kampung Sireh; Taman Warisan; Kampung Kuala Pertang; Kampung Ngagoh; Kampung Pahi dan Kampung Aur Duri; Kampung Guchil; Kampung Jirat; Kampung Gatal; Kampung Batu Mengkebang; Kampung Keroh; Kampung Batu Jong dan kawasan sekitarnya.

Artikel Berkaitan:

Di Gua Musang, banjir diramal berlaku mulai petang ini melibatkan Kampung Limau Kasturi dan kawasan sekitarnya.

Setakat ini, dua jalan utama ditutup kepada semua jenis kenderaan melibatkan Jajahan Jeli iaitu Jalan Jeli-Dabong (Kampung Reka) dengan kenaikan air sedalam satu meter dan Jalan Jeli-Dabong di hadapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Balah yang dinaiki air setinggi satu meter.

Situasi sama turut berlaku di Terengganu dan Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan jumlah mangsa terus meningkat kepada 910 orang setakat jam 3 petang ini berbanding 267 orang pada 8 pagi tadi.

AKAN MENYUSUL