226 petani, penternak dan nelayan terjejas banjir terima bantuan

Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seramai 226 petani, penternak dan nelayan di Terengganu yang terjejas dalam bencana banjir kini mampu menarik nafas lega apabila menerima bantuan berupa sagu hati kerajaan negeri.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, bayaran daripada Tabung Bencana Pertanian Terengganu itu melibatkan peruntukan RM194,700.

Menurutnya, jumlah bayaran bermula September lalu itu diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu pada minggu lalu.

Katanya, ada yang sudah dibayar, manakala selebihnya dalam proses bayaran.

“Petani, penternak dan nelayan kelompok yang sering terkesan pada hujung tahun lantaran fenomena bencana banjir di Terengganu.

“Antara aduan yang kita terima adalah bot nelayan rosak dibadai ombak besar, ternakan ikan sangkar mati, tanaman ditenggelami banjir, haiwan ternakan mati dihanyut air bah dan sangkar ikan rosak.

“Ada juga aduan melibatkan reban ayam dan bangsal cendawan ditimpa pokok yang tumbang dan semua aduan rakyat yang diterima kita ambil perhatian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun Dr Azman berkata, jumlah sagu hati dibayar kepada setiap penerima adalah berbeza kerana bergantung kepada keluasan tanaman terjejas dan jumlah ikan atau haiwan ternakan yang mati atau terkesan banjir.

Artikel Berkaitan: