Isu halal: Kerajaan akan perkenal kaedah pendigitalan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kerajaan akan memperkenalkan kaedah pendigitalan bagi menambah baik piawaian halal dalam masa terdekat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, kaedah itu antara garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dipertimbangkan untuk menangani isu halal termasuk membabitkan daging dan produk daging yang diimport.

"Sebelum ini sudah ada perbincangan isu yang terkait dengan halal ini, cuma dari awal penegasan kita akan lancarkan garis panduan dan SOP berkaitan halal dalam masa terdekat ini di samping beberapa tindakan lain yang kita rasa berkesan.

"Ini termasuklah penggunaan pendigitalan, sebagai contoh kod bar halal untuk kita lihat piawaian halal itu sendiri... kita sedang buat satu persediaan ke arah itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim di sini pada Rabu.

Zulkifli (tengah) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz (dua dari kiri) ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di PPS SK Kuala Slim pada Rabu.
Zulkifli (tengah) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz (dua dari kiri) ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di PPS SK Kuala Slim pada Rabu.

Menurutnya, proses pendigitalan itu juga diyakini dapat mengelak berlakunya 'duplicate' sepertimana didakwa terjadi dalam isu kartel daging import seludup.

"Insya-ALLAH boleh atasi masalah itu," katanya.

Dalam perkembangan sama beliau menyambut baik cadangan supaya membawa bersama wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika proses audit loji penyembelihan di luar negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika ini pun, ada pegawai SPRM yang ditempatkan di jabatannya.

"Dari semasa ke semasa, saya sendiri telah mengambil maklum akan cadangan-cadangan yang baik dan bernas, kita sentiasa pantau.

"Hubungan kita dengan SPRM cukup baik dan mungkin kita boleh eratkan lagi tengok kepada kesesuaian dari segi pelaksanaan apa-apa isu yang terkait dengan riswah (suapan) atau salah guna kuasa," katanya.