PRU musim Covid-19 undang 'malapetaka'

Kamarudin Md Nor
Kamarudin Md Nor
A
A
A

PASIR PUTEH - Desakan UMNO untuk melakukan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat bakal mengundang 'malapetaka' disaat negara masih belum menang melawan pandemik Covid-19.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kes Covid-19 akan meningkat empat kali ganda berbanding ketika ini jika hasrat tersebut diteruskan juga.

"Saya turut bimbang, jika PRU itu diadakan parti yang menang tidak akan mendapat majoriti penuh. Sebab 'mood' rakyat dilihat kurang selesa dengan situasi politik negara ketika ini.

"Jadi kerajaan bakal dibentuk itu nanti tidak akan kukuh, bila tidak kukuh, pergolakan politik akan terus berlaku.

"Kesannya bukan sahaja pada kestabilan politik dan ekonomi, malah rakyat akan turut terima tempias ini," katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan UMNO yang mahu PRU diadakan dengan segera.

Terdahulu beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) merasmikan Penyerahan Bantuan Rezeki Tani 2020 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Cherang Rotan di sini pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada ketika ini perlu terus dipertahankan sehingga tamat penggal PRU-14.

Artikel Berkaitan:

Kamarudin (kiri) beramah mesra dengan salah seorang penerima bantuan rezeki tani 2020 di PPK Cherang Rotan di Pasir Puteh pada Rabu.
Kamarudin (kiri) beramah mesra dengan salah seorang penerima bantuan rezeki tani 2020 di PPK Cherang Rotan di Pasir Puteh pada Rabu.

Beliau berkata, Bersatu memerlukan UMNO dalam mengukuhkan lagi kestabilan negara dan perpaduan dalam kalangan masyarakat bagi membebaskan Malaysia daripada Covid-19.

"Saya berpandangan UMNO perlu melihat perkara ini daripada gambaran yang lebih besar dengan mengetepikan kepentingan politik.

"Saya harap UMNO sedar, kerana inilah peluang terbaik untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu," katanya.

Kamarudin berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan kuota yang cukup kepada UMNO dari segi agihan kerusi untuk menteri dan timbalan menteri.

Katanya, apa yang penting ketika ini semua menteri dan timbalan perlu menjalankan amanah dengan sebaik mungkin bagi menambat semula hati rakyat.

Dalam perkembangan lain, Kamarudin meluahkan rasa simpati terhadap Tan Sri Annuar Musa yang digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung UMNO dan BN.

Katanya, tindakan itu dilihat boleh memberikan kesan kepada parti itu kerana Annuar merupakan ahli politik yang cukup berkaliber.