Kerjasama Umno-Pas bukan sandiwara: Zahid

Dari kiri, Ahmad Zahid, Ahmad Faisalludin dan Misbahul Munir ketika forum berkenaan yang diadakan di Kompleks Umno Bagan Datuk, di sini.
Dari kiri, Ahmad Zahid, Ahmad Faisalludin dan Misbahul Munir ketika forum berkenaan yang diadakan di Kompleks Umno Bagan Datuk, di sini.
A
A
A

BAGAN DATUK - Kerjasama di antara Umno dan Pas yang sedang terjalin kini bukan sandiwara politik sebaliknya berlaku secara ikhlas.

Ketua Umno Bahagian Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum PRU14, beberapa pertemuan dibuat antara pemimpin Umno dan Pas membincangkan mengenai kerjasama kedua-dua parti itu namun tiada keputusan konkrit yang dicapai.

Katannya, bagaimanapun kekalahan BN pada PRU14 disebabkan pertandingan tiga penjuru yang menyebabkan rakyat kerugian menimbulkan kesedaran untuk kerjasama tersebut diteruskan.

"Kalau kata kerjasama ini dikatakan sandiwara politik atau wayang politik, cukuplah itu sebagai sejarah kerana jika kita mahu ambil alih Putrajaya kita kena ikhlas melakukan keputusan bersama demi Islam, Melayu dan negara.

"Kita mahu melihat perubahan mesti dilakukan dengan keikhlasan. Pada kali ini Umno benar-benar ikhlas dan saya yakin Pas juga ikhlas demi kepentingan agama, ummah dan negara," katanya ketika menjadi tetamu sebuah forum bertajuk Kerjasama Umno & Pas, Sejauh Mana...? anjuran Kelab Anak Muda Islam dan Pertubuhan Amal Pendakwah Bagan Datuk di Dewan Utama, Kompleks Umno Bagan Datuk, di sini, malam tadi.

Hadir sama sebagai tetamu pada forum tersebut, Yang Dipertua Pas Kawasan Bagan Datuk, Misbahul Munir Masduki bersama moderator, Ahmad Faisalludin Yusof.

Ahmad Zahid berkata, kerjasama Umno dan Pas kini menjadi alternatif kepada rakyat yang kini kebanyakannya mula menunjukkan rasa kesal mereka memilih kerajaan sedia ada kerana tidak menepati janji.

Menurutnya, Umno mengakui kekalahan yang berlaku pada PRU lepas merupakan hikmah untuk memberi kesedaran kerana mungkin selama ini berlaku kefasikan ketika mereka mentadbir kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Ini merupakan satu proses pembersihan kepada Umno dan BN. Malah kita tahu siapa yang taat setia, siapa yang menjadi katak.

"InsyaALLAH kita kenal siapa kawan, siapa sahabat. Kita akan pertahankan sahabat. Kawan datang dan pergi namun sahabat akan kekal selama-lamanya," katanya yang juga Presiden Umno.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahu kerjasama politik atau tahaluf siyasi antara Umno dan Pas dimulakan di peringkat Parlimen Bagan Datuk sebelum diangkat ke peringkat tertinggi oleh kedua-dua parti tersebut.

Sementara itu, Misbahul Munir berkata, kerjasama di antara Umno dan Pas itu disifatkannya sebagai 'dekat di hati'.

Katanya, hubungan antara kedua-dua parti itu akan kekal jika mereka berpegang kepada asas kukuh iaitu al-Quran dan sunah.

Beliau berkata, jika perkara itu menjadi keutamaan, kerjasama Umno dan Pas akan berkekalan.