Jakim garis pelan tindakan tangani isu daging seludup

Pelan Tindakan Jakim
Pelan Tindakan Jakim
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menggariskan enam pelan tindakan bagi menangani isu daging seludup di negara ini.

Jakim menerusi satu laporan infografik pada Rabu menyatakan, pelan tindakan pertama ialah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menurutnya, perbincangan yang diadakan pada 5 Januari lalu memfokuskan berkaitan dengan bidang kuasa, langkah yang perlu diambil dalam menangani isu tersebut dan pelan tindakan bersepadu pengimportan daging dan produk daging.

“Seterusnya, mengadakan Perbincangan Meja Bulat (RTD) dengan pengimport dan pengedar daging serta produk daging bersama KPDNHEP, Maqis dan JKDM.

"Perbincangan itu juga akan membincangkan isu yang dihadapi oleh pengimport dan pengedar serta memberi penjelasan mengenai keperluan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pengimportan dan pengedaran.

“Perbincangan ini juga berkaitan menggalakkan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) melalui skim logistik (pergudangan) dan mensyaratkan pemegang SPHM mendapatkan bekalan daging dari pengimport atau pengedar yang telah dipersijilkan halal di bawah skim logistik (pergudangan),” katanya.

Jakim berkata, pelan tindakan ketiga ialah mempromosikan badan pensijilan dan logo halal luar negara yang diiktiraf Jakim.

Katanya, sebanyak 84 badan pensijilan halal luar negara yang telah diiktiraf dan melibatkan 46 buah negara.

Artikel Berkaitan:

“Fungsi badan pensijilan halal luar negara ialah pengguna boleh mengenal pasti logo-logo halal luar negara yang diiktiraf pada label bungkusan produk import yang dijual di pasaran.

“Pengimport juga mudah mengenal pasti produk yang ingin diimport masuk ke Malaysia agar mempunyai sijil halal yang diiktiraf bagi mengelakkan kerugian dan keraguan.

“Rakyat Malaysia yang ingin melancong ke luar negara boleh menjadikan logo-logo halal yang diiktiraf ini sebagai rujukan dan panduan dalam memperoleh produk atau premis makanan yang telah dipersijilkan halal di negara berkenaan,” katanya.

Jakim berkata, pelan tindakan keempat ialah mengadakan lawatan pemantauan kepada pengimport daging, pemegang SPHM dan rumah sembelihan dengan meningkatkan aktiviti pemeriksaan terhadap pemegang SPHM.

Tambahnya, pelan tindakan kelima ialah penambahbaikkan SOP Pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Luar Negara sedia ada.

“Antaranya, pengkelasan dari segi kepakaran Badan Pensijilan Halal Luar Negara seperti skim kosmetik, farmaseutikal, makanan, minuman dan sebagainya.

“Memperkemas sistem aplikasi pengesanan produk yang dipersijilkan halal oleh Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh Jakim.

“Mengkaji semula permohonan baharu, pembaharuan dan penarikan pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh Jakim berdasarkan SOP terbaru,” katanya dalam infografik tersebut.

Jakim memaklumkan pelan tindakan yang terakhir ialah memberi kefahaman kepada masyarakat melalui sketsa pendek bertujuan untuk menerangkan SOP pengimportan daging dan produk daging ke negara ini.