PN Selangor tekad terus dasar peduli rakyat

AZMIN
AZMIN
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) Selangor akan meneruskan dasar-dasar peduli rakyat dan memacu ekonomi baharu dalam membantu rakyat ketika suasana mencabar ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagi menjayakan usaha itu, gabungan terbabit akan terus menggembleng perpaduan dan kesatuan bersama-sama rakyat dalam usaha pembangunan serta kemajuan negara.

Beliau berkata, cabaran dihadapi negara pada masa kini menuntut kepada sebuah kerajaan yang stabil dan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam usaha menjamin keselamatan rakyat.

"PN Selangor bertekad mendakap aspirasi rakyat.

"Sebagai sebuah gabungan kerjasama politik, PN mahu menganjurkan perjuangan murni, luhur dan ikhlas demi mengangkat martabat rakyat dan negara," katanya menerusi kenyataan media, pada Rabu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan memaklumkan seramai 14 Pengerusi BPN PN dilantik pada Selasa, termasuklah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi BPN Johor.

Katanya, kesemua lantikan dibuat oleh Pengerusi PN selepas bermesyuarat bersama Majlis Tertinggi gabungan itu.

Mengulas mengenai pelantikannya untuk meneraju Selangor, Mohamed Azmin berkata, beliau berterima kasih di atas keyakinan diberikan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Berkaitan:

"Saya berikrar untuk menggalas amanah dan tanggungjawab ini dengan menggarap serta memperkukuh seluruh kekuatan PN di Selangor," katanya.

Tambah Azmin, beliau turut menyeru agar seluruh komponen, pemimpin dan aktivis akar umbi PN Selangor untuk segera mengumpul kekuatan dan sinergi baru yang segar demi kesejahteraan rakyat.